Jumaat, 3 Februari 2017 | 12:03pm

Bolt tekad bersara selepas Kejohanan Dunia

 USAIN Bolt.
USAIN Bolt.

MELBOURNE: Selepas dipalit kontroversi gara-gara kesalahan rakan sepasukan dan terpaksa memulangkan semula pingat emas Olimpik, Usain Bolt memutuskan hanya akan menyertai Kejohanan Dunia 2017 dan akan bersara selepas itu.

Bintang pecut Jamaica itu menegaskan kejohanan di London berkenaan akan menjadi medan terakhirnya sebelum bersara sekali gus menafikan desas-desus dia akan beraksi di Sukan Komanwel 2018.

Bolt, yang melengkapkan gelaran treble tiga kali berturut-turut - 100m, 200m dan 4x100m - di Sukan Olimpik Rio 2016, terpaksa memulangkan semula satu daripada sembilan pingat emas Olimpiknya minggu ini selepas rakan sepasukannya, Nesta Carter didapati positif menggunakan bahan terlarang pada edisi 2008.

Pelari terpantas dunia berusia 30 tahun itu turut mengetuai skuad lari berganti-ganti Jamaica meraih satu-satunya pingat emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow dan penganjur berharap dia melanjutkan kariernya sehingga edisi seterusnya di Gold Coast pada April 2018.

"Untuk beraksi di sini pada tahun hadapan dan menjalani latihan keras untuk berada pada tahap yang mampu membawa kemenangan, ia tidak akan berlaku," katanya di Melbourne.

Bolt akan mengetuai skuad 'All Stars' - gabungan pelari terbaik - dalam siri Nitro Athletics di sini menentang empat lagi pasukan England, China, New Zealand dan Jepun.

Pertemuan pertama dijadualkan bermula esok, dengan baki dua perlumbaan pada 9 dan 11 Februari. - Reuters

Berita Harian X