Isnin, 6 Februari 2017 | 9:33pm

Nurul tekad baiki catatan masa di Johannesburg

NURUL Faizah Mazlan. - Foto Goh Thean Howe
NURUL Faizah Mazlan. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Tiada perkara lain yang ingin dilakukan oleh Nurul Faizah Mazlan ketika menyertai sesi latihan di Johannesburg, Afrika Selatan, hujung bulan ini kecuali membaiki catatan masa sebelum Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, pada Mei ini.

Biarpun tidak pernah menjejakkan kaki ke negara itu, atlet negara bagi acara 400 meter ini memasang tekad mahu segera menyesuaikan diri sekali gus tidak mensia-siakan peluang berlatih di situ selain menyertai beberapa kejohanan.

"Saya tak pernah lagi ke sana (Johannesburg). Tidak tahu bagaimana keadaan di sana namun saya memang teruja.

"Kalau ada rezeki, saya akan buat catatan masa untuk acara 400m, 4x100 dan 4x400m secepat mungkin.

"Kalau boleh sebelum penilaian akhir di Terbuka Malaysia," katanya yang memaklumkan semua pelari pecut negara ketika ini berkampung di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) sehingga Jumaat ini untuk menjalani latihan.

Nurul Faizah adalah antara 12 atlet olahraga disenaraikan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menjalani latihan dan beberapa siri kejohanan di Johannesburg bagi persediaan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pada Ogos ini.

Atlet wanita lain adalah Shereen Samson Vallabouy, Zaidatul Husniah Zulkifli, S Komalam dan Siti Fatimah Mohamad.

Barisan atlet lelaki pula adalah Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Muhammad Azam Masri, Jonanthan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi, G Aravinn Thevarr dan Rayzam Shah Wan Sofian.

Berita Harian X