Khamis, 9 Februari 2017 | 2:00pm

Hanelang FC mahu cipta sejarah sendiri

PASUKAN Hanelang FC bersama pihak pengurusan di Padang Majlis Daerah Hulu Terengganu. -Foto Rozainah Zakaria
PASUKAN Hanelang FC bersama pihak pengurusan di Padang Majlis Daerah Hulu Terengganu. -Foto Rozainah Zakaria

KUALA BERANG: Walaupun tumpuan lebih terarah kepada saingan Liga FAM, skuad Hanelang FC tetap dengan matlamat utamanya mahu menjadi kilang melahirkan pemain muda berwibawa untuk dua skuad utama negeri itu - Terengganu dan T-Team.

Namun, pasukan berwajah baharu yang berpangkalan di Hulu Terengganu itu menyimpan misi tersendiri bagi saingan Liga FAM musim ini - layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama selepas empat musim.

Pengurus pasukan, Hama Hakim Wahyudi Awang, berkata Hanelang FC membuat rombakan besar-besaran daripada aspek pemilihan pemain dan kejurulatihan supaya lebih menyinar apabila mengharungi saingan Liga FAM musim ini, dan berharap sentuhan dua jurulatih yang juga bekas penyerang Terengganu era 80-an, Zakaria Ismail dan Saipuddin Alias mampu memantapkan cabaran mereka.

"Tahun ini Hanelang FC bukan saja dibarisi keseluruhan pemain baharu, malah turut membabitkan kejurulatihan.

"Walaupun fokus utama pasukan ini kekal untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu untuk diserapkan ke skuad negeri dan T-Team, pada masa sama kami turut mahu melangkah jauh dengan sasaran ialah ke pusingan kalah mati," kata Hama Hakim ketika ditemui di padang Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Beliau menegaskan, Hanelang FC juga tidak teragak-agak melepaskan pemainnya sekiranya ada pasukan negeri atau kelab dari luar Terengganu berminat mendapatkan khidmat mereka.

"Itulah matlamat utama kami iaitu melahirkan produk yang berkualiti untuk pembangunan bola sepak negeri dan negara.

"Sudah pasti kami bangga sekiranya ada pasukan negeri atau kelab mahu mendapatkan khidmat pemain Hanelang FC dan kami sedia melepaskan mereka. Ia juga satu pengiktirafan terhadap usaha kami.

"Secara tidak langsung ia juga akan membakar semangat pemain untuk mempamerkan aksi terbaik mereka apabila tirai saingan dibuka musim ini," katanya.

Hanelang FC diundi dalam Kumpulan A bersama Felcra, KDMM, Shahzan Muda, UKM, MOF FC, KSDBKL, MPKB-BRI.

Berita Harian X