Jumaat, 10 Februari 2017 | 12:13am

Skuad Bernhardt ada masalah ke Sukan SEA

FRANK Bernhardt. - Foto Osman Adnan
FRANK Bernhardt. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Kekalahan 0-3 kepada skuad Bawah 22 (B-22) Vietnam bagaikan memberi gambaran awal sukarnya perjalanan skuad kendalian Frank Bernhardt memburu ibu segala pingat emas Sukan SEA.

Kebimbangan itu diakui sendiri penyerang skuad B-22 negara, Jafri Firdaus Chew, tatkala masalah persefahaman masih menghantui dengan temasya dwi tahunan itu berbaki enam bulan.

Sehubungan itu, sensasi Pulau Pinang itu percaya sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kembali mengguna pakai sistem lama - menghimpunkan pemain secara tetap sebagai satu pasukan berbanding amalan ketika ini iaitu memanggil pemain dalam tempoh tertentu seperti skuad senior.

"Kami tidak boleh melakukan apa-apa sebab beraksi tanpa menjalani latihan sebagai sebuah pasukan.

"Malah, ketiadaan beberapa pemain Kedah juga faktor kekalahan dan jika mereka ada mungkin kami akan lebih kuat.

"Saya rasa lebih baik kumpulkan dari awal macam pasukan-pasukan lain buat seperti Vietnam. Kami tahu mereka sudah mengumpulkan pemain yang sama sejak umur 19 tahun dan tak pernah pecah lagi," katanya.

Malah, Firdaus yang akan diturunkan Pulau Pinang untuk aksi berdepan T-Team esok, tanpa berselindung mengakui dia dan rakan sepasukannya berdepan masalah kepenatan lantaran komitmen bersama negara.

"Saya sendiri letih sebab sebelum ke Vietnam saya beraksi dengan Pulau Pinang bertemu T-Team dan bermain 90 minit.

"Kemudian ketika di sana, saya cuma dapat main 45 minit, mungkin jurulatih faham (kepenatan) saya," katanya.

Isu berkenaan pernah dibangkitkan Bernhardt yang menyuarakan hasrat untuk mengumpulkan pasukan secara tetap bermula awal tahun ini.

Namun, gesaannya itu mendapat tentangan pasukan liga tempatan yang enggan melepaskan pemain, sebaliknya skuad Projek Sukan SEA 2017 itu hanya dapat dikumpulkan secara bersama bermula bulan Mei ini.

Berita Harian X