Ahad, 12 Februari 2017 | 8:19pm

Shah Firdaus mampu jadi nombor satu: Azizulhasni

SHAH Firdaus (kanan) bersama Azizulhasni.
SHAH Firdaus (kanan) bersama Azizulhasni.

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang yakin Muhammad Shah Firdaus Sahrom memiliki potensi besar menjadi pelumba trek nombor satu dunia jika mendapat pendedahan berterusan di pentas antarabangsa.

Malah, katanya, walaupun masih muda, Shah Firdaus kini sudah mencapai kedudukan ranking ke-17 dunia bagi acara keirin seperti diumumkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), pada bulan lalu.

Lebih membanggakan, Azizulhasni yang menduduki ranking pertama UCI bagi acara keirin berkata, Shah Firdaus juga menunjukkan prestasi cemerlang apabila meraih pingat gangsa acara keirin di Kejohanan Basikal Asia (ACC) di New Delhi, India, minggu lalu.

Bagaimanapun, bagi Azizulhasni, pelumba muda negara itu perlu menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman dengan menyertai kejohanan sama ada di Malaysia mahu pun luar negara.

"Dia memang perlu banyak menimba pengalaman dan belajar, barulah boleh menjadi pelumba lebih bagus pada masa depan.

"Saya nampak Shah Firdaus mampu pergi lebih jauh kerana dia sendiri cepat belajar dan suka bertanya apabila kami berlatih bersama-sama di Melbourne, Australia.

"Kita tidak boleh berkayuh selamanya, jadi secara peribadi saya memang teruja dan gembira kerana kita sudah ada pelumba pelapis seperti Shah Firdaus yang mampu menggantikan tempat saya apabila bersara nanti," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Azizulhasni turut meluahkan keyakinan kontinjen negara mampu meraih 13 pingat emas menerusi acara berbasikal di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini jika atlet berbasikal negara mendapat lebih banyak pendedahan.

"Saya tidak boleh komen banyak tetapi berdasarkan pemerhatian di Kejohanan ACC di New Delhi, India, memang nampak kayuhan mereka kurang bertenaga mungkin kerana kurang pengalaman dan pendedahan berlumba di Malaysia mahu pun peringkat antarabangsa.

"Bagi saya, jika kita mahu menang pingat emas kita mesti lebih banyak pendedahan dengan menghantar mereka berlumba di luar negara kerana kejohanan di Malaysia amat kurang," katanya.

Sehubungan itu, selaku pelumba lebih berpengalaman, Azizulhasni juga bersedia memberikan tunjuk ajar dan berkongsi ilmu serta berkongsi pengalaman bagi membantu meningkat prestasi atlet berbasikal muda negara.

Berita Harian X