Rabu, 22 Februari 2017 | 2:35pm

Al Amin nafi terbabit dalam perjanjian alih kuasa BAM

PEMANGKU Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al Amin. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PEMANGKU Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al Amin. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid menafikan beliau terbabit dengan perjanjian yang disifatkan sebagai 'gentlemen agreement' bagi pemilihan jawatan nombor satu badan induk itu.

Al Amin dalam satu kenyataan media hari ini, berkata beliau menghargai usaha presiden, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff menamakan penggantinya tetapi menegaskan keputusan perkara itu adalah terletak di tangan delegasi yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

"Pemilihan pucuk pimpinan tertinggi adalah terletak di tangan delegasi yang hadir ke AGM yang terdiri daripada persatuan negeri," katanya dalam kenyataan itu.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Tengku Mahaleel memberi sokongan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagi menggantikan tempatnya berdasarkan perjanjian awal antara pihak berkepentingan dalam BAM atau disifatkan 'gentlemen agreement'.

Mengulas lanjut, Al Amin, berkata sepanjang 20 tahun pembabitannya bersama BAM, badan induk itu sentiasa ada jalan penyelesaian dalam suasana demokrasi dan harmoni berhubung pemilihan pemimpin tertinggi.

"Saya percaya ia juga tiada bezanya tahun ini memandangkan tahun ini adalah tahun bagi pemilihan pucuk pimpinan," kata Al Amin.

Berita Harian X