Jumaat, 10 March 2017 | 11:33am

Siri Super Tinju Dunia tawar RM215 juta

RICHARD Schaefer. - Foto Getty Images
RICHARD Schaefer. - Foto Getty Images

NEW YORK: Siri Super Tinju Dunia, kejohanan baharu untuk peninju terkemuka yang menawarkan hadiah wang tunai AS$50 juta (RM215 juta) dan Trofi Muhammad Ali, akan dilancar September ini.

Kejohanan kalah mati itu akan menampilkan dua kategori berat pada musim pengenalannya, dengan lapan peninju dalam setiap kategori.

Suku akhir akan diadakan pada September dan Oktober, separuh akhir pada Januari dan Februari 2018 manakala final pada Mei.

Separuh daripada 14 pertarungan akan diadakan di Amerika Syarikat (AS) manakala bakinya di Eropah, namun setakat ini nama peninju belum disahkan.

"Tinju memerlukan kejohanan besar seperti Siri Super Tinju Dunia," kata Richard Schaefer, bekas eksekutif Golden Boy Promotions yang mengendali kejohanan di sebelah AS.

"Peninju yang kami mahukan termasuk juara dunia terkini, bekas juara dunia, bintang muda dan sedang meningkat naik, campuran yang baik supaya perjalanannya menarik."

Trofi emas Ali direka bentuk oleh Silvio Gazzaniga, pereka trofi Piala Dunia FIFA. - Reuters

Berita Harian X