Sabtu, 18 March 2017 | 5:46pm

Zarish puas atasi Yudani

PESILAT Malaysia, Mohd Zarish Hakim Shukor (kanan) mengasak pesilat Indonesia, Hanifan Yudani Kusumah pada perlawanan akhir kategori C Putera pada Kejohanan Silat Asia Tenggara 2017 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin. - Foto Luqman Hakim Zubir
PESILAT Malaysia, Mohd Zarish Hakim Shukor (kanan) mengasak pesilat Indonesia, Hanifan Yudani Kusumah pada perlawanan akhir kategori C Putera pada Kejohanan Silat Asia Tenggara 2017 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin. - Foto Luqman Hakim Zubir

GOMBAK: Pesilat negara, Mohd Zarish Hakim Shukor akhirnya tersenyum lebar apabila melunaskan 'dendamnya' ke atas pesilat Indonesia, Hanifan Yudani Kusumah pada aksi akhir Kelas C Putera Kejohanan Silat Asia Tenggara ke-7 di sini, hari ini.

Kekecewaan yang dihadapi pada Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, Disember lalu ditebus di laman sendiri dengan pesilat berusia 19 tahun itu menumbangkan juara dunia terbabit menerusi kemenangan secara teknikal (TKO) pada aksi di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO).

Mohd Zarish ketika ditemui selepas tamat perlawanan berkata, dia berpuas hati selepas berjaya mengalahkan seterunya itu, lebih-lebih lagi menerusi kemenangan mutlak, selepas mengambil kira faktor dia baru sahaja pulih daripada kecederaan jari kakinya.

"Saya akui sedikit gundah sebelum beraksi kerana kecederaan ini, namun apabila memasuki gelanggang, semangat untuk menang bertukar membara kerana bertemu lawan yang menewaskan saya di Bali tahun lalu.

"Apapun, saya bersyukur kerana berjaya membuktikan kemampuan. Saya berharap dapat mengekalkan prestasi untuk membantu pasukan negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 nanti," katanya.

Pada aksi di Bali Disember lalu, Mohd Zarish pengsan selepas ditendang lawan tuan rumah, Hanifan di bahagian bawah dagu. Bagaimanapun, pegawai perubatan kejohanan yang memasuki gelanggang menganggap Zarish masih boleh beraksi dan mencetuskan ketegangan apabila wasit memberikan kemenangan kepada pesilat Indonesia itu.

Mengulas lanjut persediaannya bagi mengharungi Sukan SEA 2017, Mohd Zarish menegaskan dia tidak akan berhenti, sebaliknya mahu memburu lebih banyak kejayaan selepas ini.

"Saya tidak akan berhenti berlatih bagi memantapkan lagi corak tempur saya dan saya bersedia untuk bertemu mana-mana pencabar selepas ini.

"Andai saya bertemu Yudani sekali lagi pada Sukan SEA 2017 nanti, saya yakin mampu menewaskan dia sekali lagi di laman sendiri," katanya.

Berita Harian X