Jumaat, 24 March 2017 | 6:54am

Benzema tuntut penjelasan Deschamps

DIDIER Deschamps dan Karim Benzema. -Foto Reuters
DIDIER Deschamps dan Karim Benzema. -Foto Reuters

PARIS: Penyerang Real Madrid, Karim Benzema, mahu pengendali Perancis, Didier Deschamps,

menjelaskan mengapa dia tidak disenaraikan untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia menentang Luxembourg awal pagi Ahad ini.

Benzema sebelum ini digantung daripada mewakili Perancis selepas didakwa bersubahat mengugut rakan sepasukan, Mathieu Valbuena berkenaan skandal rakaman seks, tetapi penggantungan itu tamat September lalu.

Bagaimanapun, Benzema masih dipinggirkan untuk kunjungan ke Luxembourg, esok dan perlawanan persahabatan menentang Sepanyol minggu depan.

"Saya rasa ia tidak adil kerana saya tidak diberi sebarang penjelasan. Saya seorang lelaki dan saya ingin tahu mengapa saya tidak disenaraikan," kata Benzema kepada radio Perancis, RMC.

Benzema, yang kali terakhir mewakili negara pada Oktober 2015, masih berharap dapat menambah jumlah kap antarabangsanya, yang kini mencecah 81 kap.

"Saya belum menamatkan karier antarabangsa saya, jadi saya belum mahu berputus asa. Memang sukar (digugurkan) apabila anda bermain di kelab besar.

"Saya cintakan bola sepak, perlawanan yang besar. Pasukan kebangsaan memberikan anda perlawanan kelas tinggi," katanya. - REUTERS

Berita Harian X