Jumaat, 31 March 2017 | 11:03pm

Skuad tinju negara berlatih di Kazakhstan untuk Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Skuad tinju negara bakal mengadakan latihan intensif lebih tiga bulan di Kazakhstan bermula bulan depan, sebagai persiapan akhir menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dari 19 hingga 31 Ogos ini.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Mohamad Samsul Deran berkata negara Asia Tengah itu menjadi pilihan berkenaan kerana mempunyai ramai rakan sepelatih yang mempunyai berat badan sama dengan peninju negara.

"Keseluruhan sembilan atlet termasuk enam atlet yang bakal menggalas cabaran negara pada Sukan SEA akan menyertai latihan intensif di Kazakhstan dan kita berharap kesemua peninju menggunakan peluang tersebut untuk memperbaiki prestasi masing-masing," katanya kepada BERNAMA hari ini.

Enam atlet berkenaan adalah Adli Hafidz Mohd Pauzi (81kg), Arfiqanie Ahmad Ansori (56kg), Khir Akyazlan Azmi (64kg), Muhamad Alieshah Mohd Kamarulzaman (75kg), Muhamad Fuad Mohd Redzuan (49kg) dan Abdul Salam Kassim (52kg).

Mohamad Samsul berkata skuad negara dijangka menyertai dua kejohanan - Kejohanan Tinju Elit Asia ASBC di Uzbekistan dari 30 April hingga 7 Mei, dan Sukan Perpaduan Islam Keempat di Turkmenistan dari 12 hingga 22 Mei ini.

Beliau memaklumkan tiada sasaran khusus ditetapkan pada kedua-dua kejohanan berkenaan kerana fokus utama adalah meningkatkan tahap kecergasan dan mental peninju.

"Kita akan menghantar tiga atlet ke kejohanan di Uzbekistan kerana hanya beberapa kategori ditawarkan pada kejohanan tersebut manakala untuk Sukan Perpaduan Islam, kita akan senaraikan kesemua enam peninju untuk bertanding buat pertama kali," katanya.

Ditanya mengenai sasaran pada Sukan SEA 2017, beliau berkata PTM hanya mensasarkan satu pingat emas, dan tambahan kutipan pingat dianggap sebagai bonus.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara tinju pada Sukan SEA adalah dua pingat emas pada edisi 2009 di Laos menerusi Muhammad Farkhan Haron (75kg) dan Muhd Fairus Azwa dalam kategori 81kg. -- BERNAMA

Berita Harian X