Selasa, 11 April 2017 | 1:01pm

Skuad wanita cemerlang di Eropah

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara membuka kempen Jelajah Eropah dengan merekodkan kemenangan sulung apabila menumpaskan RHTC Bayer Leverkusen 2-0 di North Rhine-Westphalia, Jerman, awal pagi tadi.

Dua gol Malaysia Tigress itu dihasilkan tonggak berpengalaman, Siti Nur Amarina Ruhani dan Nuraini Rashid masing-masing menerusi pukulan sudut penalti.

Siri Jelajah membabitkan 14 aksi pemanas badan di dua negara kuasa besar Eropah - Jerman dan Belanda - diatur sebagai persiapan bagi menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2017 sama ada di Brussels atau Johannesburg, Jun atau Julai depan.

Seterusnya, Malaysian Tigress akan bertemu Kelab Hoki Crefeld, awal pagi esok dan pasukan divisyen kedua Jerman, Raffelberg dua hari kemudian sebelum tiga aksi dengan Jerman B21 bermula Jumaat, Sabtu dan Ahad ini.

Selepas itu, skuad negara akan bertolak semula ke Amsterdam untuk menghadapi lapan perlawanan termasuk satu aksi menentang Belanda B21 sebelum pulang ke tanah air pada 29 April ini.

Berita Harian X