Rabu, 12 April 2017 | 5:10pm

'Kedah rela Cheng Hoe pergi'

DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) bersalaman dengan Tan Cheng Hoe di Wisma Darulaman selepas menerima kunjungan jurulatih Kedah itu bagi memaklumkan pelantikanya sebagai Penolong Pembantu Harimau Malaya di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darulaman semalam .- Foto BERNAMA
DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) bersalaman dengan Tan Cheng Hoe di Wisma Darulaman selepas menerima kunjungan jurulatih Kedah itu bagi memaklumkan pelantikanya sebagai Penolong Pembantu Harimau Malaya di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darulaman semalam .- Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedia melepaskan Tan Cheng Hoe, untuk memberi laluan kepada ketua jurulatih skuad Helang Merah itu berkhidmat bersama pasukan kebangsaan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata KFA tiada sebarang halangan membenarkan perpindahan Cheng Hoe, tetapi beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan tiada sebarang masalah timbul kemudian hari.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah, berkata pihaknya belum membuat sebarangan keputusan mengenai isu berkenaan, namun KFA sedang melakukan proses diperlukan dengan FAM.

"Buat masa ni, biar KFA selesaikan dahulu beberapa perkara dengan FAM dan proses surat-menyurat sedang berlangsung... apa yang penting kita nak tengok pasukan Kedah dari aspek persiapan gantian jurulatih yang bersesuaian, sebelum Cheng Hoe berpindah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan isu perpindahan Cheng Hoe ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas menerima tawaran untuk berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan.

Ditanya mengenai tempoh diperlukan KFA, Ahmad Bashah berkata ia bergantung kepada pengganti untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Cheng Hoe.

"Kita tidak tegah dia kerana ia baik untuk masa depannya....bagi KFA kita ada beberapa nama termasuk dari luar negara, tetapi masih dalam perbincangan dari aspek kesesuaian dengan pasukan dan bayaran," katanya.

Berita Harian X