Jumaat, 14 April 2017 | 11:41pm

JDT II, NS terikat di Pasir Gudang

PEMAIN import Johor DT II, Jeronimo Barrales diasak dua pemain Negeri Sembilan, dalam saingan Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajudin
PEMAIN import Johor DT II, Jeronimo Barrales diasak dua pemain Negeri Sembilan, dalam saingan Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajudin

PASIR GUDANG: Rekod tanpa kalah Negeri Sembilan masih kebal selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) sekali gus mengukuhkan tangga teratas pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam ini.

Bagaimanapun keputusan seri yang diraih JDT II pasti tidak menggembirakan tatkala masih belum berada di zon selamat untuk layak ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Percubaan menarik pelawat hadir pada minit ke-13 selepas Khairul Anwar Shahrudin melakukan sepakan percuma tepat ke penjuru kiri gol namun penjaga gol S Sasikumar tangkas menepis bola keluar.

Walaupun tuan rumah tampak mengatur serangan menerusi gerakan menarik kapten Nicolas Fernandez namun kekentalan benteng pelawat yang diterajui kapten Mohd Nasriq Baharom bijak menghalang percubaan berbahaya.

Namun pelawat terlebih dahulu merungkai jaringan pada minit ke-19 selepas bola sepakan percuma Khairul Anwar terbias pertahanan tuan rumah yang menyaksikan bola terkena palang dan kesempatan itu digunakan Bruno Suzuki untuk menolak bola masuk menewaskan Sasikumar.

Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Mohd Hamzani Omar kembali menyusun serangan dan pada minit ke-26 bola tandukan Jeronimo Barreles sekadar tepat kepada penjaga gol, Mohd Kaharuddin Abdul Rahman berpunca daripada sepakan lintang Che Rashid Che Halim.

Serangan bertali arus tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-39 apabila bola sepakan lintang D Saarvindran ditanduk Fernandez tepat kepada Barreles yang menanduk semula bola menewaskan Mohd Kaharuddin untuk mengikat kedudukan 1-1.

Palang gol nyata menjadi penghalang buat tuan rumah untuk menambah jaringan selepas bola sepakan lambung Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-79 menyaksikan Mohd Kaharuddin sudah tertewas dan kedudukan 1-1 pada babak pertama kekal sehingga tamat perlawanan.

Berita Harian X