Jumaat, 28 April 2017 | 9:06pm

Boling padang Thailand panas badan di Langkawi

PASUKAN boling padang Thailand.
PASUKAN boling padang Thailand.

KUALA LUMPUR: Pasukan Kebangsaan Thailand menjadikan Kejohanan Boling Padang, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) - Piala Mahsuri 2017 di Kompleks Sukan LADA, Langkawi, Kedah sebagai medan pemanas badan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos depan.

Jurulatihnya, Frank De Vries, berkata kejohanan memang sesuai dijadikan medan terbaik bagi menguji kekuatan dan kemampuan sebenar skuad kebangsaan Thailand kerana ia menjanjikan saingan sengit dan disertai ramai pemain ternama.

Bagaimanapun, De Vries berkata beliau amat gembira dengan persembahan, prestasi dan kesungguhan ditunjukkan anak buahnya yang menjadi salah satu daripada lapan pasukan bakal berentap di peringkat suku akhir, esok.

"Saya amat gembira dengan kejayaan pasukan ini dan saya berharap mereka mampu menjadi juara kejohanan ini.

"Skuad ini adalah pasukan yang akan mewakili Thailand pada temasya KL2017 dan kami sudah bersedia untuk menjadi juara dalam acara boling padang di temasya KL2017 nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tujuh pasukan lain yang turut layak ke peringkat suku akhir ialah 7 UPS, LADA/WES B, KED/LADA, Thailand F, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, Thailand D, SIMA dan LADA/WES A.

Kejohanan boling padang edisi ke-17 itu kali kedua anjuran KPT dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) serta Persatuan Lawn Bowls Kedah (PLBK) berkenaan disertai oleh lebih 180 peserta mewakili 90 pasukan tempatan dan luar negara termasuk dari Macau dan Thailand.

Berita Harian X