Jumaat, 28 April 2017 | 10:18pm

Kejuaraan Sepanyol CEV Repsol: Kasma Daniel puas hati

KASMA Daniel Kasmayudin (depan) berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan jenteranya pada sesi latihan bebas perlumbaan pembuka musim Moto3 Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Repsol 2017, hari ini. - Foto fail NSTP/Fathil Asri
KASMA Daniel Kasmayudin (depan) berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan jenteranya pada sesi latihan bebas perlumbaan pembuka musim Moto3 Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Repsol 2017, hari ini. - Foto fail NSTP/Fathil Asri

KUALA LUMPUR: Penunggang muda berbakat negara, Kasma Daniel Kasmayudin berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan jenteranya pada sesi latihan bebas perlumbaan pembuka musim Moto3 Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Repsol 2017, hari ini.

Selepas mengharungi empat sesi latihan, juara CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS tahun lalu itu melakukan keseluruhan 29 pusingan dengan catatan terbaik 1 minit 39.91 saat di Litar Albacete, Sepanyol.

Mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jentera dan perlumbaan di Eropah, pelumba kelahiran Skudai, Johor itu optimis prestasinya akan bertambah baik menjelang hari perlumbaan, Ahad ini.

"Ia sesi latihan yang baik di atas litar dan saya berpeluang untuk mendapatkan keserasian dengan jentera baharu dan litar ini," kata pelumba berusia 17 tahun itu.

"Saya agak gembira dengan catatan yang dibuat dan yakin saya akan bertambah baik. Ini adalah sesuatu yang jurutera pasukan sedang lihat dengan teliti. Kami semua bekerja keras dan melakukan yang terbaik untuk pasukan."

Selepas mencipta sejarah muncul pelumba termuda negara memenangi gelaran elit tempatan itu tahun lalu, bakat Kasma pantas dikembangkan dengan menyertai pasukan PETRONAS Sprinta dalam saingan CEV itu.

Penampilannya di Kejuaraan Sepanyol CEV menyaksikan Kasma yang pernah merangkul gelaran juara keseluruhan dalam kelas CP115 pada 2015 bersama pasukan PETRONAS Maju Motor, tidak akan mempertahankan kejuaraan di peringkat tempatan.

Selain Kasma, perlumbaan di pentas Eropah itu pernah menjadi medan menimba ilmu buat pelumba negara seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi, Ramdan Rosli dan Hafiq Azmi.

Hafizh Syahrin yang ketika ini beraksi dalam kelas Moto2 di Kejuaraan MotoGP Dunia, turut dijadualkan beraksi di Kejuaraan Sepanyol CEV dalam kelas Moto2 di Albacete, namun atas tiket wildcard dengan tumpuan terarah kepada medan latihan dan memperbaiki pelarasan jentera.

Berita Harian X