Sabtu, 29 April 2017 | 5:21pm
ORANG ramai beratur panjang sejak tengahari untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA, diantara Pahang menentang Negeri Sembilan pada esok di perkarangan Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal
ORANG ramai beratur panjang sejak tengahari untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA, diantara Pahang menentang Negeri Sembilan pada esok di perkarangan Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Tiket untuk aksi separuh akhir Piala FA mula dijual

KUANTAN: Kira-kira 3,000 peminat bola sepak, khususnya penyokong Pahang tidak melepaskan peluang mendapatkan tiket untuk menyaksikan aksi separuh akhir pertama Piala FA antara Pahang dan Negeri Sembilan yang mula dijual hari ini.

Biarpun kaunter di Stadium Darul Makmur hanya dibuka jam 2 petang, peminat sudah mula berada di pekarangan stadium dua jam lebih awal untuk memberikan sokongan kepada skuad Tok Gajah.

Tinjauan mendapati proses jualan tiket berjalan lancar walaupun hanya empat tiket dihadkan untuk seorang, peminat masih sanggup beratur walaupun dalam keadaan cuaca panas.

Dengan prestasi mantap musim ini dan Pahang menamatkan kedudukan di tangga kedua pada pusingan pertama Liga Super, penyokong Tok Gajah mengharapkan skuad bimbingan Dollah Salleh membawa pasukan kesayangan mereka ke pentas final.

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) memperuntukkan sebanyak 30,000 tiket iaitu 10,000 tiket dijual hari ini manakala baki 20,000 tiket lagi dijual jam 10 pagi, esok.

Harga tiket ditetapkan PBNP ialah RM25 untuk pentas utama, berbumbung (RM15) dan terbuka (RM12).

Sementara itu, seorang peminat setia Tok Gajah Hussin Mansor, 48 dari Cherating, berkata dia lega kerana berjaya dapat membeli tiket biarpun terpaksa menunggu selama tiga jam.

"Saya kecewa ketika Pahang gagal menjulang Piala FA pada musim 2015 dan 2016. Namun, dengan perancangan yang lebih rapi dan dibarisi pemain berpengalaman, saya percaya Pahang akan muncul juara musim ini," katanya.

Bagi Zainuddin Mohammad, 40 dari Indera Mahkota, Pahang perlu mengambil sepenuhnya peluang di tempat sendiri untuk menewaskan Negeri Sembilan dengan jaringan besar.

"Tapi mereka tidak boleh memandang mudah keupayaan Negeri Sembilan yang mampu melakar kejutan jika pemain tuan rumah gagal beraksi dengan baik," katanya.

Berita Harian X