X
Ahad, 7 Mei 2017 | 7:08am

Leipzig lakar sejarah ke Liga Juara-Juara

PEMAIN RB Leipzig, Timo Werner meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Hertha Berlin di Berlin, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN RB Leipzig, Timo Werner meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Hertha Berlin di Berlin, awal pagi tadi. - Foto Reuters

BERLIN: RB Leipzig mengharungi musim pertama dalam saingan Bundesliga dengan persembahan menakjubkan apabila menempah slot automatik ke saingan Liga Juara-Juara musim depan, selepas menewaskan Hertha Berlin 4-0, awal pagi tadi.

Timo Werner muncul wira Leipzig apabila meledak dua gol bagi memastikan tiga mata diraih pada pertemuan dengan Hertha.

Leipzig yang ditubuhkan oleh syarikat gergasi minuman tenaga Red Bull pada 2009 hanya layak beraksi dalam saingan utama Jerman musim ini selepas tujuh tahun mencuba.

Mereka kini di kedudukan kedua liga dan hampir pasti menamatkan saingan dalam kelompok tiga teratas, sekali gus layak secara automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

"Saya sangat bangga. Tiada tempat yang lebih baik untuk meraikannya selain bersama penyokong kelab," kata jurulatih Leipzig, Ralph Hasenhuettl yang menyaksikan 10,000 penyokong kelab itu berkunjung ke Berlin.

Mereka menjadi kelab pertama sejak Kaiserslautern pada 1998 yang layak secara automatik ke Liga Juara-Juara selepas dinaikkan pangkat ke saingan liga utama.

Penyerang Jerman, Werner, 21, kini merekodkan 19 gol dalam saingan liga musim ini.

"Kami memang berhak untuk ini selepas apa yang kami lalui sepanjang musim ini. Kami merekodkan kejayaan yang besar dan akan berada bersama kelab utama di Eropah," kata Werner. - AFP

Berita Harian X