Ahad, 14 Mei 2017 | 10:35pm

F1: Hamilton takluk GP Sepanyol

LEWIS Hamilton. - Foto AFP
LEWIS Hamilton. - Foto AFP

BARCELONA: Lewis Hamilton menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Sepanyol sebentar tadi, mengatasi pendahulu kejuaraan, Sebastian Vettel yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Kemenangan turut menyaksikan jurang mata di antara pelumba pasukan Mercedes AM PETRONAS itu dengan Vettel yang juga pelumba Ferrari berkurangan kepada enam mata selepas berakhir lima pusingan perlumbaan.

Ia adalah kemenangan ke-55 dalam karier Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak utama, namun terpaksa bekerja keras untuk menang selepas Vettel memintasnya di awal saingan.

Pelumba kelahiran Britain itu begitupun kembali memimpin perlumbaan selepas 44 pusingan sebelum memenanginya dengan kelebihan 3.4 saat di depan Vettel yang sudah melakukan segala-galanya untuk menang.

Keseluruhan perlumbaan di Litar Catalunya turut menyaksikan kedua-dua juara dunia itu seakan berlumba sesama sendiri dengan pemenang tempat ketiga, Daniel Ricciardo dari Red Bull menamatkan perlumbaan 1 minit 15.8 saat di belakang Hamilton.

Ricciardo juga menjadi satu-satunya pelumba yang tidak dipintas sepusingan oleh Hamilton dan Vettel.

Begitupun, situasi malang menimpa kedua-dua rakan sepasukan mereka iaitu Valtteri Bottas (Mercedes) dan pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen apabila kedua-duanya terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.

Bottas yang memenangi perlumbaan di GP Russia meninggalkan litar selepas enjinnya mengalami kerosakan manakala Raikkonen mengalami kemalangan seawal pusingan pertama. - REUTERS

Keputusan GP Sepanyol

1. Lewis Hamilton (Britain) Mercedes

2. Sebastian Vettel (Germany) Ferrari

3. Daniel Ricciardo (Australia) Red Bull - TAG Heuer

4. Sergio Perez (Mexico) Force India - Mercedes

5. Esteban Ocon (France) Force India - Mercedes

6. Nico Huelkenberg (Germany) Renault

7. Pascal Wehrlein (Germany) Sauber - Ferrari

8. Carlos Sainz Jr (Spain) Toro Rosso - Renault

9. Daniil Kvyat (Russia) Toro Rosso - Renault

10. Romain Grosjean (France) Haas - Ferrari

11. Marcus Ericsson (Sweden) Sauber - Ferrari

12. Fernando Alonso (Spain) McLaren

13. Felipe Massa (Brazil) Williams-Mercedes

14. Kevin Magnussen (Denmark) Haas - Ferrari

15. Jolyon Palmer (Britain) Renault

16. Lance Stroll (Canada) Williams-Mercedes

Berita Harian X