Sabtu, 3 Jun 2017 | 7:13am

Giroud ledak hatrik benam Paraguay

Oliver Giroud
Oliver Giroud

RENNES, Perancis: Hatrik Oliver Giroud membantu Perancis mengetepikan Paraguay 5-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Rennes, awal pagi tadi.

Penyerang Arsenal itu menjadi pemain Perancis pertama menjaringkan tiga gol di pentas antarabangsa sejak David Trezeguet melakukannya pada tahun 2000.

Dia membuka tirai jaringan untuk skuad bimbingan Didier Deschamps pada minit keenam, gol kedua pada minit ke-13 sebelum mencipta hatrik yang juga gol ke-16 peringkat antarabangsa pada minit ke-69.

Gol pertama Giroud hasil sepakan volley selepas menyempurnakan hantaran Ousmane Dembele dan gol kedua diraih menerusi tandukan selepas menerima hantaran Dmitri Payet.

Giroud melengkapkan hatrik hasil lorongan pemain gantian, Lucas Digne, di babak kedua.

Jaringan pasukan itu terus dilekapkan oleh Moussa Sissoko dari Tottenham dan bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann untuk memberikan Perancis lebih keyakinan menjelang kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Sweden di Stockholm pada 10 Jun.

Dalam saingan kelayakan Kumpulan A, finalis Euro 2016, Perancis mengetuai kumpulan itu dengan kelebihan tiga mata di hadapan Sweden.

Kemenangan itu meletakkan Perancis kembali ke landasan untuk bangkit meraih keyakinan selepas kekalahan 2-0 kepada Sepanyol pada perlawanan persahabatan pada Mac lalu.

"Bagus, saya mendapat bantuan rakan sepasukan, saya dapat menyelesaikan kerja berpasukan dan saya gembira kerana hasil ini adalah kerjasama yang baik," kata Giroud kepada televisyen Perancis TMC.

Deschamps turut berpuas hati dengan persembahan pasukannya.

"Penyerang kami menjaringkan gol, itu yang bagus. Sekarang kami tahu kami mempunyai perlawanan yang berbeza menentang Sweden selepas ini," kata Deschamps.

Mengenai persembahan Giroud. "Dia adalah penjaring terbaik kami, dia terus gigih mendapatkan gol dan apabila dia tidak menjaringkan gol, dia membantu rakan yang lain untuk menjaringkan gol.

"Dan dia mempamerkan aksi yang baik dan sangat membantu walaupun berdepan musim yang sukar bersama kelab."

Menilai mengenai cabaran minggu depan di Stockholm, Deschamp menambah: "Kami berdepan pasukan yang berada di belakang kami dalam carta, bagus atau tidak di sana nanti, ia akan meletakkan kami dalam situasi lebih baik untuk layak ke Piala Dunia."

Selepas lima aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Russia, Perancis menghuni tangga teratas Kumpulan A dengan 13 mata, tiga mata di depan Sweden di tempat kedua, Bulgaria ketiga dengan sembilan mata dan Belanda di tempat keempat dengan tujuh mata.

Selepas aksi menentang Sweden, Perancis dijadualkan bertemu England pada perlawanan persahabatan di Paris pada 13 Jun. - AFP

Berita Harian X