Sabtu, 3 Jun 2017 | 12:08pm

Ronaldo jadi penentu - Zidane

CRISTIANO Ronaldo. - Foto AFP
CRISTIANO Ronaldo. - Foto AFP

CARDIFF, United Kingdom: Zinedine Zidane percaya daya kepimpinan Cristiano Ronaldo bakal menjadi faktor penentu Real Madrid untuk mencipta sejarah di final Liga Juara-Juara menentang Juventus, awal pagi esok.

Ronaldo bakal menjadi tumpuan ketika skuad bimbingan Zidane cuba untuk menjadi kelab pertama memenangi kejuaraan Eropah itu secara berturut-turut sejak AC Milan melakukannya 27 tahun dulu.

Walaupun dikritik kerana tidak begitu menyerlah ketika pasukan juara itu berdepan Atletico Madrid di pentas final Liga Juara-Juara 2016, Ronaldo tetap menjaringkan gol kemenangan menerusi penalti dan turut menjaringkan gol untuk meraih gelaran pada final 2014.

Ronaldo kini kembali mendapatkan sentuhan pada musim ini - meledak 400 gol dalam kariernya untuk Real ketika pasukan itu mencapai gelaran juara La Liga, Sepanyol buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.

Zidane mengakui, penyerang kelahiran Portugal berusia 32 tahun itu akan menjadi penentu untuk Real muncul juara kerana Ronaldo sendiri meletakkan standard yang tinggi supaya rakan sepasukannya sentiasa bersemangat untuk mencapai kejayaan.

"Dia seorang yang bagus, mengambil berat antara satu sama lain. Apa yang lebih penting ialah dia melakukannya secara profesional," kata Zidane ketika sidang media di Cardiff.

"Dia sentiasa mahu lebih. Walaupun ketika sesi latihan, dia sentiasa mahu menang. Dia memiliki sesuatu. Dia adalah pemimpin semula jadi, terutamanya ketika di padang.

"Bagi saya, apa yang paling penting ialah dia mahu menang," katanya.

Zidane sendiri mempunyai sejarah istimewa bersama Real selepas menjaringkan gol kemenangan pada final Liga Juara-Juara 2002 menentang Bayer Leverkusen, - sehinggakan dia diletakkan pada label paling tinggi pada era 'Galacticos' di Bernabeu.

Namun, bintang Perancis ini tidak pernah mempersoalkan kehebatan Ronaldo, yang turut memenangi dua gelaran La Liga serta dua gelaran Piala Dunia Kelab FIFA bersama Real - jika dibandingkan siapa lebih antara dua legenda kelab berkenaan.

Ditanya siapa yang lebih baik selaku pemain, Zidane berkata; "Cristiano Ronaldo. Tak perlu dipersoalkan kerana dia menjaringkan gol dan itu lebih penting,"

Jika Real memenangi final ini, Zidane akan menjadi pengurus pertama yang memenangi kejuaraan itu dua tahun berturut-turut selepas Arrigo Sacchi melakukannya untuk AC Milan pada 1989 dan 1990. - AFP

Berita Harian X