Ahad, 4 Jun 2017 | 9:06am

Zidane puji anak buah bersemangat tinggi

CARDIFF: Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane memuji sikap dahagakan kemenangan yang ditunjukkan pemainnya, ketika membenam Juventus 4-1, sekali gus memenangi Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Sambil mengucapkan terima kasih selepas kemenangan bergaya Madrid ke atas juara Itali itu di Stadium Principality, Zidane menjadi pengurus pertama memenangi Piala Eropah berturut-turut selepas Arrigo Sacchi ketika bersama AC Milan pada tahun 1989 dan 1990.

Juventus melangkah ke final dengan rekod tanpa kalah dalam Liga Juara-Juara musim ini dan hanya melepaskan tiga gol dalam perjalanan ke Cardiff.

Bagaimanapun, Madrid yang diilhamkan oleh dua gol Cristiano Ronaldo jelas terlalu kuat untuk ditangani Juventus.

Sikap tenang Zidane berjaya membantu Madrid menghadapi tekanan sengit di Bernabeu dan kini, hanya 17 bulan dalam tugasnya, beliau meraih ganjaran dengan Real menjulang kejuaraan La Liga dan Liga Juara buat kali pertama dalam satu musim sejak tahun 1958.

Bekas perancang pasukan Perancis yang turut menjuarai Liga Juara-Juara sebagai bintang Madrid pada tahun 2002, pantas memberi kredit kepada pemainnya selepas mempamerkan aksi cemerlang.

"Ia satu kegembiraan yang hebat bagi pemain, untuk kelab yang besar ini dan saya gembira kerana bukan mudah untuk memenangi gelaran seperti La Liga dan Liga Juara-Juara.

"Tahun ini kami melakukannya dengan kerja keras, keinginan dan dengan kelab dan pemain yang kami ada.

"Tahun ini sangat menakjubkan dan sekarang kami akan menikmatinya, " katanya.

AFP

Berita Harian X