X
Khamis, 8 Jun 2017 | 6:15pm

Moto2: Hafizh Syahrin buru podium Catalunya

PELUMBA Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin. - Foto Osman Adnan
PELUMBA Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah tanpa berselindung mahu perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol, hujung minggu ini menghadirkan kejayaan podium buat dirinya dan pasukan.

Beraksi di Litar Catalunya yang dianggap 'rumah kedua', tekad tinggi yang disuarakan pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu bukan sekadar angan kosong terutama selepas dia hampir mendaki podium, tahun lalu.

Meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-13 pada tahun lalu, pelumba berusia 22 tahun itu menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat sekali gus antara penamat terbaiknya pada musim 2016.

"Barcelona bagaikan rumah kedua saya. Setakat ini, keputusan yang saya raih di litar ini baik namun saya mahu melakukan keputusan lebih baik berbanding tahun lalu.

"Kami akan bekerja keras seawal yang mungkin untuk melihat sendiri dan menilai litar," katanya mengulas perubahan susun atur di Litar Catalunya pada perlumbaan tahun ini.

"Secara keseluruhan, tidak banyak perubahan namun 'chicane' (halangan) di selekoh 14 dan 15 mungkin boleh menjadi penentu.

"Saya juga berharap segala-galanya dapat diselesaikan sejurus kami mengharungi sesi latihan bebas pertama," katanya.

Bagi mendapatkan pelarasan yang baik, pengurus pasukan, Razmin Masli Abdul Razak berkata, keseluruhan pasukan juga tidak akan menginap di hotel dan berkampung di pangkalan pasukan, Castellbisbal yang terletak berdekatan Catalunya.

"Keadaan cuaca pada minggu ini dijangka baik. Ada banyak kerja yang menanti kerana kami mahu memastikan kami mampu memberikan yang terbaik minggu ini," katanya.

Selepas enam pusingan, Hafizh ketika ini berada di tangga ke-14 kedudukan pelumba selepas mengumpul 24 mata, jauh ketinggalan berbanding pendahulu, Franco Morbidelli dari Itali yang sudah memiliki 114 mata.

Berita Harian X