Sabtu, 8 Julai 2017 | 5:30pm

KL2017: MASOC kesan penjualan tiket palsu

gn4id:21528406

KUALA LUMPUR: Biarpun penjualan tiket Sukan SEA 2017 baru bermula awal minggu ini, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) menyedari berlakunya penjualan tiket di pasaran gelap dan memberi amaran akan mengenakan tindakan udang-undang kepada pihak yang terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong, berkata pihak penganjur mendapati perkara itu berlaku dengan tiket RM20 dijual melebihi dua kali ganda apabila didapati dijual dengan harga RM50 di laman web mudah.my sejak semalam (Jumaat).

"Sama ada ia kes terpencil atau tak, kalau kita tak kawal ia akan merebak dan mungkin kita tingkatkan cara mengawal masalah itu. Kita akan babitkan pasukan keselamatan seperti polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang turut berada dalam jawatankuasa penganjuran," katanya selepas majlis undian acara berpasukan Sukan SEA di sini hari ini.

Katanya, beliau turut mengarahkan Ketua Pegawai Operasi (COO) MASOC, Shaiful Subhan untuk menyiasat secara terperinci masalah ini dan akan melihat cara untuk mempertingkatkan mekanisma penjualan tiket.

Buat masa ini, tiket 19 acara Sukan SEA serta majlis pembukaan dan penutupan dijual di www.kualalumpur2017.com.my dengan hanya empat pembelian tiket dihadkan bagi setiap pembeli.

Zolkples juga menasihati orang ramai tidak membeli tiket di saat akhir bagi mengelakkan menjadi mangsa pembelian tiket yang lebih mahal di pasaran gelap serta bagi mengelakkan lebih ramai penyokong negara asing yang memenuhi venue.

Katanya, rakyat Singapura contohnya membeli tiket dengan jumlah yang banyak iaitu 200 tiket bagi menyaksikan acara bola jaring yang sudah pun habis dijual dalam tempoh dua jam selepas penjualan tiket atas talian dilancarkan.

"Stadium Juara (venue bola jaring) boleh memuatkan 1,000 penonton dan kita akan melihat kemungkinan menambah kepada 1,200 atau 1,300 kapasiti penonton. Katakanlah kalau Singapura bertemu Malaysia di final, jadi kita tak perlu risau daripada segi ratio penonton nanti," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X