Rabu, 24 Mei 2017 | 12:59pm

Sektor pemborongan, peruncitan rancak

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto Malai Rosmah Tuah
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto Malai Rosmah Tuah

SEKTOR pemborongan dan peruncitan Malaysia mencatatkan pertumbuhan pesat pada tahun lalu, disokong pelbagai dasar dan inisiatif berkesan yang dilaksanakan sektor awam dan swasta dalam membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga komoditi global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pelaburan berterusan dalam sektor berkaitan memberi manfaat dengan peruncitan dan pemborongan yang berkembang 10 peratus sejak permulaan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya, ia yang kini merangkumi 15.15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menggantikan sektor minyak, gas dan tenaga sebagai penyumbang terbesar KDNK Malaysia.

"Pola pertumbuhan pesat ini dijangka berterusan, didorong peluang perkembangan dalam Pertumbuhan Kedai Format Besar dan e-dagang," katanya.

Secara tidak langsung, inisiatif kerajaan yang tepat membuahkan hasil dari segi peningkatan besar dalam pembelian atas talian di kalangan rakyat.

Berdasarkan data perangkaan, peruncitan e-dagang dijangka berkembang pada kadar 23.7 peratus setahun sehingga 2021 disokong permintaan kukuh yang merangsang usaha mencari dan mencipta produk baharu serta inovasi kreatif dalam amalan peruncitan dan saluran pembayaran.

Mentransformasikan kehidupan rakyat

Sejak pelaksanaan inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi sektor pemborongan dan peruncitan enam tahun lalu, rakyat Malaysia menyambut baik perniagaan peruncitan tradisional dan digital kerana menawarkan lebih banyak pilihan serta mampu dimiliki oleh rakyat dan pelancong asing.

Pelaburan dalam sektor pemborongan dan peruncitan berjumlah RM6.4 bilion pada 2016 dalam pelbagai program mewujudkan persekitaran ekonomi yang rancak.

Hampir separuh daripada jumlah itu disalurkan oleh Kedai Format Besar yang menyumbang kepada pembukaan tujuh pasar raya hiper baharu dan 12 gedung besar, termasuk pembukaan premis pemain runcit utama Timur Tengah, Kumpulan Lulu.

Pada masa sama, perniagaan kecil dan sederhana tidak diabaikan, dengan NKEA berjaya mentransformasikan kehidupan rakyat, yang mana kedai runcit dan mini atau gerai kecil memberi banyak manfaat kepada komuniti setempat dari segi pilihan harga berpatutan selain mencipta peluang pekerjaan.

Selain itu, Malaysia berada pada kedudukan ketiga dalam Indeks Pembangunan Peruncitan Global (GRDI) AT Kearney pada 2016. Kedudukan itu adalah tertinggi dengan peningkatan sebanyak enam tangga daripada kedudukan tahun 2015, selain melonjak daripada kedudukan ke-17 sebelum pelaksanaan Program Transformasi Negara (NTP).

Kejayaan ini membuktikan keberkesanan inisiatif dan usaha NKEA, sekali gus memberi gambaran bahawa Malaysia sebagai 'negara paling menarik dan destinasi pilihan bagi perniagaan di Asia Tenggara'.

Berita Harian X