Ahad, 17 Ogos 2014 | 4:45pm
ANGGOTA polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di Ferguson, hari ini. - Foto AFP
ANGGOTA polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di Ferguson, hari ini. - Foto AFP
PENUNJUK perasaan bertempiaran lari selepas anggota polis melepaskan gas pemedih mata dalam tunjuk perasaan di Missouri, hari ini. - Foto AFP
PENUNJUK perasaan bertempiaran lari selepas anggota polis melepaskan gas pemedih mata dalam tunjuk perasaan di Missouri, hari ini. - Foto AFP

Polis lepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di Missouri

FERGUSON, Missouri: Polis melepaskan asap dan gas pemedih mata bagi meleraikan penunjuk perasaan di kawasan St Louis di mana seorang remaja kulit hitam, Michael Brown ditembak oleh pegawai polis kulit putih pada 9 Ogos lalu.

Beratus-ratus penunjuk perasaan meninggalkan kawasan terbabit dengan aman sebelum tengah malam ketika perintah berkurung antara 12 malam hingga 5 pagi.

Namun sebahagian daripada penunjuk perasaan melaungkan ungkapan 'Tiada keadilan! Tiada perintah berkurung!' dan enggan meninggalkan kawasan berkenaan.

"Anda melanggar perintah berkurung yang dikuat kuasakan oleh kerajaan. Anda mesti bersurai segera. Kegagalan mematuhinya boleh mengakibatkan penahanan," kata pihak polis dari kereta perisai.

Ketika anggota polis memakai topeng muka, salah seorang daripada penunjuk perasaan itu berkata: "Kami berhak mengadakan perhimpunan secara aman."

Sejurus kemudian pihak polis mula melepaskan kelongsong asap dan gas itu ke arah penunjuk perasaan berkenaan.

Jurucakap polis, Leftenan John Hotz pada mulanya berkata polis hanya menggunakan asap tetapi kemudian mengesahkan bahawa mereka juga melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Kekacauan berlaku antara polis dan penunjuk perasaan selepas Gabenor Jay Nixon semalam mengisytiharkan darurat di Ferguson berikutan ketegangan pada malam Jumaat lalu.

Pada awal hari berkenaan, polis mengenal pasti anggotanya yang menembak Brown sebagai Darren Wilson dan mengeluarkan dokumen dan gambar video yang menunjukkan Brown melakukan rompakan ke atas sebuah kedai serbaneka sebelum ditembak.

Nixon menambah, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kini memperluaskan penyiasatan hak asasi manusianya berhubung dengan kes tembakan itu. - AP

Berita Harian X