Jumaat, 15 Ogos 2014 | 6:39pm
Lelaki dari Amerika Syarikat diiring pegawai polis untuk penyiasatan perubatan dalam siasatan pembunuhan wanita berusia 62 tahun, Sheila von Wiese Mack di Bali semalam.
Lelaki dari Amerika Syarikat diiring pegawai polis untuk penyiasatan perubatan dalam siasatan pembunuhan wanita berusia 62 tahun, Sheila von Wiese Mack di Bali semalam.

Pasangan Amerika didakwa dengan tuduhan membunuh di Bali

BALI: Polis mendakwa sepasang rakyat Amerika Syarikat atas tuduhan membunuh selepas mayat seorang wanita 62 tahun ditemui terperosok di dalam beg pakaian di sini.

Heather Mack, 19, dan teman lelakinya, Tommy Schaefer, 21, kedua-duanya dari Chicago, ditahan semalam di kawasan Kuta, Bali, sehari selepas mayat Sheila von Wiese-Mack dijumpai di dalam tempat letak beg di dalam teksi yang diletakkan di hadapan hotel St Regis di sini.

Tuduhan itu berdasarkan bukti yang diperoleh daripada saksi dan siasatan di tempat kejadian, kata timbalan ketua polis Bali, Brg Jen Gusti Ngurah Raharja Subyakta.

Katanya, pasangan itu enggan bercakap kepada penyiasat tanpa peguam berikutan soal siasat peringkat awal dan dikehendaki menjalani ujian dadah.

Polis berkata pasangan itu menyewa sebuah teksi dan memasukkan beg pakaian ke bahagian belakang kenderaan itu. Mereka memberitahu pemandu teksi mereka ingin daftar keluar dari hotel dan akan kembali. Namun selepas dua jam, Mack dan Schaefer tidak muncul. Pengawal keselamatan hotel yang ternampak kesan darah di beg pakaian itu meminta teksi terbabit membawanya ke balai polis, di mana beg berkenaan dibuka dan mayat wanita berkenana ditemui mati.

Von Wiese-Mack, juga dari Chicago, dan anak perempuannya tiba di St Regis Sabtu lalu sementara Schaefer mendaftar masuk pada Isnin, kata polis. - AP

Berita Harian X