Jumaat, 10 Oktober 2014 | 6:47pm

Keganasan: Kebimbangan global yang perlu ditangani

KUALA LUMPUR: Malaysia percaya oleh kerana keganasan adalah suatu kebimbangan global yang menjadi penghalang kepada pembangunan sosial, politik dan ekonomi, maka tindakan berkesan perlu diambil untuk mengatasinya.

Sejajar dengan itu, Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff, berkata untuk memerangi keganasan, masyarakat global perlu menangani faktor yang menyumbang kepada wujudnya kegiatan keganasan, di samping mengambil langkah penguatkuasaan secara tegas dan ketat.

Beliau berkata, tindakan ini termasuk melaksanakan langkah perundangan, meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasaan undang-undang serta mengukuhkan kerjasama antara agensi.

"Sebagai contoh, di peringkat kebangsaan, Malaysia mewujudkan arahan nasional bagi mengurus dan menentang keganasan.

"Arahan nasional itu atau Arahan Majlis Keselamatan Negara No.18 - Pengendalian dan Pengurusan Krisis Pengganas, menggembleng tentera, polis dan pihak berkuasa awam lain dalam melaksanakan usaha menentang keganasan dengan lebih berkesan," katanya.

Hussein berkata demikian ketika berucap pada Sidang Ke-69 Perhimpunan Agung PBB di New York, semalam. Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai pengedaran dadah, beliau berkata ancaman itu dianggap lebih mencabar di Asia Tenggara, terutama kerana kedudukannya yang hampir dengan Golden Crescent, wilayah pengeluaran utama candu.

"Langkah mengawal pengedaran dadah terlarang akan lebih berkesan jika ia dilaksanakan melalui usaha bersepadu antarabangsa, termasuk aturan dua hala dan serantau berikutan sifatnya sebagai jenayah transnasional.

"Ini perlu meliputi pemberian bantuan teknikal dan pembabitan dalam program pembinaan keupayaan sebagai sumber alternatif kepada pendapatan di kawasan atau negara pengeluaran dadah," katanya.

Hussein berkata, Malaysia mengakui keperluan mewujudkan masyarakat yang selesa bagi semua peringkat usia.

Katanya, oleh kerana Malaysia dijangka mencapai Status Negara Tua menjelang 2030, kerajaan menggubal, meluluskan dan melaksanakan Dasar Warga Tua Kebangsaan.

"Dasar serta rancangan tindakan ini mengambil kira aspek kesihatan dan ekonomi warga emas," katanya.

-

BERNAMA

Berita Harian X