Isnin, 6 Oktober 2014 | 2:12pm
DATUK Seri Jamil Khir Baharom (dua dari kanan) berbual dengan jemaah haji yang dirawat di Pusat Rawatan Syisyah di sini, malam tadi.
DATUK Seri Jamil Khir Baharom (dua dari kanan) berbual dengan jemaah haji yang dirawat di Pusat Rawatan Syisyah di sini, malam tadi.

Dua lagi jemaah haji meninggal dunia - Jamil Khir

MAKKAH: Dua lagi jemaah haji meninggal dunia di Mina, menjadikan jumlah kematian sehingga kini sembilan orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, kedua-dua jemaah haji lelaki berkenaan ialah Osman Abdullah @ Wee Chen Kian, 64, dari Kg Sageng, Simunjan, Sarawak dan Abdul Hamid Hussain, 84 tahun. Tempat asalnya tidak diketahui.

Osman meninggal dunia kerana jangkitan paru-paru di Pusat Rawatan Syisyah yang dikendalikan Tabung Haji dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, sementara Abdul Hamid meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Arab Saudi, katanya kepada media Malaysia selepas menziarahi pesakit di Pusat Rawatan Syisyah di sini, malam tadi.

Beliau diiringi Ketua Rombongan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengarah Operasi Perubatan Makkah, Dr Mohd Jusoh.

Beliau berkata, setakat ini 66 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di hospital Arab Saudi dan pusat perubatan kendalian TH dan Kementerian Kesihatan.

Seramai tujuh jemaah haji dimasukkan ke hospital Arab Saudi, iaitu empat di Hospital King Abdul Aziz di sini, satu di Mina dan dua lagi di Arafah, katanya.

Sementara itu, di pusat rawatan perubatan yang dikendalikan oleh TH pula, seramai 36 orang dimasukkan ke Pusat Rawatan Syisyah dan 23 di Pusat Rawatan Aziziah.

Menyentuh mengenai jemaah haji di Mina, Jamil Khir berkata pada Isnin jemaah haji yang melakukan "Nafar Awal", iaitu yang keluar awal bagi meninggalkan Mina pada 12 Zulhijjah sebelum terbenam matahari (iaitu masuknya waktu solat maghrib), akan bergerak meninggalkan Mina untuk kembali ke Makkah selepas keluar untuk berwukuf di Arafah pada Khamis lalu, sebelum bermabit di Muzdalifah dan bermalam di Mina sejak Sabtu.

Kesemua jemaah haji dibenarkan melakukan Nafar Awal dengan syarat antaranya berniat untuk meninggalkan Mina dan kembali lagi, serta keluar sebelum terbenam matahari (masuk waktu solat maghrib) pada 12 Zulhijjah.

Mereka juga perlu menyempurnakan segala lontaran pada ketiga-tiga Jamrah - Kubra, Wusta dan Sughra pada dua hari Tasyriq iaitu pada 11 dan 12 Zulhijjah serta bermabit dalam dua malam (malam 11 dan 12 Zulhijjah) dengan sempurna.

Beliau berkata, ada juga jemaah akan tinggal sehari lagi di Mina untuk "Nafar Thani" iaitu melontar sekali lagi pada 13 Zulhijjah, yang jatuh pada hari Selasa.

Jemaah haji sekembalinya ke Makkah akan bertawaf dan Saie sebelum berangkat pulang ke Malaysia dengan kumpulan pertama berlepas pulang Jumaat ini.

Jamil Khir berkata, jemaah haji Malaysia tahun ini mengorbankan 13,437 ekor kibas dan 150 ekor unta sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan korban itu adalah sebanyak SR7.1 juta (RM6.16 juta), termasuk nilai kibas sebanyak SR6.5 juta (RM5.64 juta).

Kesemua binatang itu dikorbankan pada Sabtu lalu bersempena Hari Raya Aidiladha di Arab Saudi, katanya.

Menyentuh mengenai pengurusan haji oleh Arab Saudi tahun ini, Jamil Khir berkata pengurusan haji dari setahun ke setahun dilihat meningkat.

Bagaimanapun, ada beberapa aspek pengurusan boleh dipertingkatkan, antaranya pengurusan jemaah haji semasa melontar di Jamrah, Mina di mana ramai jemaah haji yang jauh tempat penginapannya dan tidak mempunyai khemah penginapan di Mina, bermabit di sekitar Jamrah secara beramai-ramai.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi "boleh memperkemaskan lagi" perkara itu.

- BERNAMA

Berita Harian X