Isnin, 1 Disember 2014 | 9:03am
Gambar menunjukkan penumpang Penerbangan 67 'American Airlines' meninggalkan pesawat terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy, New York semalam, selepas pihak berkuasa menerima panggilan ancaman bom. - Foto AP
Gambar menunjukkan penumpang Penerbangan 67 'American Airlines' meninggalkan pesawat terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy, New York semalam, selepas pihak berkuasa menerima panggilan ancaman bom. - Foto AP

Tiada bom dijumpai selepas pesawat Amerika terima panggilan ancaman

NEW YORK: Pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy berkata mereka tidak menjumpai apa-apa yang merbahaya semalam di dalam pesawat 'American Airlines' selepas menerima panggilan ancaman bom dalam pesawat dari Sepanyol itu.

Jurucakap syarikat penerbangan itu, Laura Masvideo berkata penerbangan 67 dari Barcelona itu mendarat dengan selamat di bandaraya New York pada tengah hari.

Jurucakap Pihak Berkuasa Lapangan Terbang New York dan polis New Jersey, Joe Pentangelo berkata pesawat terbabit dibawa ke satu lokasi tidak jauh dari landasan dan lebih 200 penumpangnya serta anggota krunya dikeluarkan.

Seorang penduduk New York, Jacob Rosenberg yang baharu kembali daripada percutian di Sepanyol, berkata penerbangan itu berjalan lancar ketika ia terbang menyeberangi Atlantik, lebih cepat daripada masa yang dijadualkan untuk pendaratan.

"Pesawat itu mendarat ke bahagian tepi landasan.

"Kemudian kenderaan polis Pihak Berkuasa Lapangan Terbang sampai bersama skuad bom polis, bomba dan unit K-9," katanya.

Rosenberg berkata penumpang dikeluarkan dan dibawa dengan bas ke pusat pemeriksaan kastam.

Polis dan unit anjing K-9 kemudian memeriksa sepenuhnya pesawat berkenaan serta kargonya dan mendapati segala-galanya selamat.

Pentangelo menambah, pihak berkuasa sedang menyiasat punca panggilan bom itu. - AP

Berita Harian X