Selasa, 2 Disember 2014 | 1:27pm

Suspek tembak mati 4 orang di Virginia ditemui bunuh diri

MORGANTOWN (West Virginia): Seorang suspek lelaki dari Virginia Barat yang dipercayai menembak mati empat orang secara berasingan, dijumpai mati di dalam traknya selepas beberapa jam diburu polis, hari ini.

Jody Lee Hunt, 39, dijumpai mati di dalam kenderaan jenis Ford F-150 di dalam sebuah belukar di Monongalia County, demikian menurut polis Virginia.

Kenderaan dan mayat suspek ditemui jam 7 petang dengan kesan tembakan dipercayai membunuh diri, kata jurucakap polis, Lt. Dennis Johnson.

Hunt diburu selepas dua kejadian tembakan di Westover dan satu lagi di Cheat Lake berdekatan Monongalia County, kata jurucakap polis Lt. Michael Baylous.

Pegawai perubatan sedang mengenal pasti identiti mayat berkenaan.

Pegawai berkata, mereka mungkin tidak dapat memberikan maklumat lebih lanjut mengenai perkara itu lagi.

"Hari ini penyiasat di setiap empat kejadian jenayah itu akan bertemu dan cuba merungkai bagaimana serangan berkenaan boleh berlaku," kata Baylous.

Terdahulu, Baylous mengenal pasti dua mangsa tembakan dari Cheat Lake sebagai Sharon Kay Berkshire, 39, dan Michael David Frum, 28.

Bagaimanapun, kejadian tembakan di Westover masih kurang maklumat. - AP

Berita Harian X