Selasa, 2 Disember 2014 | 2:29pm
Tiga pelajar, dari kanan, Joshua Wong, Prince Wong dan Isabella Lo bercakap dengan media di khemah mereka selepas melancarkan mogok lapar di luar ibu pejabat kerajaan di Hong Kong hari ini. - Foto AP
Tiga pelajar, dari kanan, Joshua Wong, Prince Wong dan Isabella Lo bercakap dengan media di khemah mereka selepas melancarkan mogok lapar di luar ibu pejabat kerajaan di Hong Kong hari ini. - Foto AP

Pemimpin pelajar Hong Kong lancar mogok lapar

HONG KONG: Pemimpin pelajar Hong Kong yang melancarkan mogok lapar bagi memaksa kerajaan mengadakan rundingan dengan pergerakan prodemokrasi menghadapi krisis berikutan pertempuran ganas dengan polis.

Pemimpin pergerakan itu, Joshua Wong dan dua anggota perempuan kumpulan Scholarisme melancarkan mogok lapar lewat semalam tanpa ada tempoh masa ditetapkan iaitu sehari selepas pelajar terbabit cuba merempuh masuk ke ibu pejabat kerajaan.

"Kami berharap selepas mogok lapar, kami berpeluang berunding dengan pegawai kerajaan dengan terbuka bagi menyelesaikan masalah di Hong Kong hari ini," kata Wong yang berusia 18 tahun.

"Kami ingin memberi tumpuan kepada proses untuk memulakan pembaharuan politik," kata Wong selepas 12 jam mogok laparnya.

Ketiga-tiga mereka melancarkan mogok lapar di dalam khemah di luar ibu pejabat kerajaan dan digambarkan menggigil berikutan suhu rendah di bandar raya berkenaan.

Pemimpin Hong Kong, Leung Chun-ying, yang didesak supaya berundur menggesa pelajar terbabit supaya menjaga kesihatan mereka.

"Saya berharap pelajar terbabit yang melancarkan mogok lapar akan menjaga kesihatan mereka, terutama ketika cuaca semakin sejuk," katanya.

Tunjuk perasaan diketuai pelajar itu menuntut agar diadakan pilihan raya bebas bagi bandar raya berkenaan pada 2017. - AFP

Berita Harian X