Jumaat, 27 March 2015 | 8:52am

Bedilan kuat gegar ibu negara Yaman

SERANGAN udara oleh tentera pakatan Teluk diketuai Arab Saudi yang membedil di kawasan pemberontak Huthi di Sanaa semalam. - Foto AFP
SERANGAN udara oleh tentera pakatan Teluk diketuai Arab Saudi yang membedil di kawasan pemberontak Huthi di Sanaa semalam. - Foto AFP

SANAA: Satu bedilan kuat menggegarkan Sanaa malam tadi susulan serangan udara yang dilakukan tentera pakatan Teluk diketuai Arab Saudi terhadap pemberontak Syiah di kawasan yang dikuasai mereka di ibu negara Yaman.

Serangan juga dilakukan di selatan negara itu, manakala pertempuran terus berlaku di bandar pelabuhan selatan Aden yang menjadi bandaraya tonggak Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.

Peluru anti-pesawat dikatakan turut dilepaskan apabila tentera pakatan menumpukan serangan udara terhadap sebuah kem di Al-Istiqbal, di barat sempadan Sanaa.

Saksi berkata, serangan udara turut mensasarkan pangkalan tentera Al-Samaa, di utara Sanaa, yang digunakan oleh kumpulan tentera yang berpaling tadah kepada bekas Panglima Ahmed Ali Saleh.

Saleh adalah anak kepada presiden yang digulingkan, Ali Abdullah Saleh, yang didakwa menggerakkan kumpulan pemberontak untuk menentang kerajaan.

Di selatan Yaman, pemberontak dan tentera yang setia dengan Saleh diberi tekanan untuk meninggalkan zon kawalan mereka selepas dua serangan udara mensasarkan pangkalan udara Al-Anad di utara Aden yang dikuasai pemberontak, Rabu lalu.

Satu lagi sasaran serangan udara adalah pangkalan tentera khas yang bersekutu dengan pemberontak Huthi di Qatabah, kira-kira 120 kilometer di utara Aden. - AFP

Berita Harian X