Khamis, 30 April 2015 | 8:50am

Ribuan tunjuk perasaan di Baltimore, New York

Penunjuk perasaan berarak semasa demonstrasi di Manhattan, New York City. - Foto A
Penunjuk perasaan berarak semasa demonstrasi di Manhattan, New York City. - Foto A

BALTIMORE: Ribuan penunjuk perasaan terdiri golongan muda berarak di tengah Bandaraya Baltimore serta di New York hari ini bagi menuntut keadilan terhadap lelaki keturunan Afrika-Amerika yang mati dengan kecederaan teruk ketika dalam tahanan polis.

Ini susulan pada Isnin lalu apabila masyarakat kulit hitam dan berkulit putih merusuh bermula di stesen kereta api utama Baltimore sehingga ia berlarutan, termasuk memecah masuk kedai serta membakar bangunan.

Hari ini kebanyakan tunjuk perasaan yang diadakan membabitkan kumpulan remaja sekolah dan penuntut kolej yang berkumpul di depan Dewan Bandaraya Baltimore, demikian menurut pemberita AFP di tempat kejadian.

Beberapa ribu orang turut berkumpul di Union Square, di Lower Manhattan, New York.

Beberapa demonstrasi kecil-kecilan turut diadakan di Boston, demikian lapor media AS.

Penunjuk perasaan di Baltimore dilihat membawa sepanduk yang tertera: "Polis pembunuh perlu dipenjarakan."

Lebih 2,000 pengawal negara AS yang dikerah ke Baltimore sejak Isnin lalu ditempatkan bagi mengawal keadaan.

Namun pihak berkuasa sebelum ini berkata mereka akan bertindak sekiranya tunjuk perasaan bertukar ganas seperti berlaku Isnin lalu ketika upacara pengebumian Freddie Gray, 25.

Kematian Gray adalah kejadian terbaharu di AS membabitkan orang berkulit hitam yang dilaporkan maut ketika dalam tahanan polis sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan warga Afrika-Amerika yang mendakwa mereka menjadi mangsa kekejaman polis. - AFP

Berita Harian X