Sabtu, 9 Mei 2015 | 7:41am

Saudi umum gencatan senjata di Yaman mulai Selasa depan

KEADAAN sebuah bangunan yang rosak selepas pertempuran dengan pemberontak Huthi di Aden. - Foto Reuters
KEADAAN sebuah bangunan yang rosak selepas pertempuran dengan pemberontak Huthi di Aden. - Foto Reuters

SANAA: Arab Saudi mengumumkan gencatan senjata atas dasar kemanusiaan di Yaman mulai Selasa depan, walaupun ketika ini sedang mempertingkatkan serangan udara terhadap pemberontak Huthi.

"Kami putuskan gencatan senjata akan berkuatkuasa 12 Mei ini jam 11 malam selama lima hari dan mungkin dilanjutkan bergantung kepada keadaan," kata Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir selepas mesyuarat menteri negara Teluk di Paris.

Begitupun, pesawat pejuang tentera bersekutu diterajui Saudi terus membedil kubu Huthi, pemberontak mazhab Syiah di utara Yaman sejak kelmarin.

Sementara itu, PBB mengingatkan tentera bersekutu bahawa sekatan laluan untuk penghantaran makanan dan bahan api menjejaskan usaha penyaluran bantuan sekali gus mengancam nyawa ribuan kanak-kanak Yaman.

"Gencatan senjata ini akan ditamatkan jika Huthi dan sekutunya tidak berpegang kepada persetujuan yang dicapai. ..inilah masanya Huthi membuktikan mereka mengambil berat hal ehwal masyarakat dan warga Yaman keseluruhannya," kata Juber pada sidang media bersama dengan Setiausaha Negara AS, John Kerry.

JOHN Kerry (kiri) dan Adel al-Jubeir bercakap pada pada sidang media bersama di Paris. - Foto Reuters
JOHN Kerry (kiri) dan Adel al-Jubeir bercakap pada pada sidang media bersama di Paris. - Foto Reuters

Kerry berkata, gencatan senjata itu berkuatkuasa selagi Huthi setuju tiada lagi kegiatan pengeboman, tembakan, pergerakan tentera atau pengubahan kedudukan tentera serta senjata berat.

Beliau menegaskan bahawa gencatan senjata itu adalah pembaharuan iltizam pihak bersekutu yang mana jika ia dapat dipertahankan, akan membuka ruang untuk dilanjutkan.

Sejak kempen serangan bermula, pasukan bersekutu diterajui Saudi sudah menyerang lokasi utama pemberontak seperti pusat kawalan, kompleks komunikasi, kilang pengeluaran periuk api dan beberapa kemudahan lain di wilayah Saada yang bersempadan Arab Saudi.

Saksi di Saada berkata pesawat tentera bersekutu turut menggugurkan nota yang menggesa penduduk meninggalkan kawasan itu sebelum mula menggempur kawasan itu malam tadi.

Serangan udara tentera bersekutu diterajui Saudi terhadap Yaman sebagai tanda sokongan terhadap Presiden Abedrabbo Mansour Hadi yang kini tinggal dalam buangan. Sementara Huthi yang dikatakan dibiayai Iran, menyokong bekas presiden, Ali Abdullah Saleh.

Selepas enam minggu pertempuran di Yaman, lebih 1,400 terbunuh dan 6,000 cedera, kebanyakannya orang awam. - AFP

Berita Harian X