Ahad, 10 Mei 2015 | 3:23pm

Pemberontak Yaman terima cadangan gencatan senjata Arab Saudi

MENTERI Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir. - Foto AP
MENTERI Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir. - Foto AP

SENAA: Tentera Yaman yang membantu kumpulan pemberontak Huthi hari ini menyatakan menerima cadangan Arab Saudi untuk gencatan senjata minggu depan.

"Berikutan usaha negara sahabat untuk mewujudkan gencatan senjata kemanusiaan yang akan menamatkan sekatan dan membenarkan kapal komersial memasuki pelabuhan Yaman serta membenarkan bantuan kemanusiaan masuk, kami mengumumkan persetujuan kepada gencatan senjata kemanusiaan," kata jurucakap pemberontak, Kolonel Sharaf Luqman, kepada agensi berita Saba.

Arab Saudi sebelum ini mengumumkan gencatan senjata atas dasar kemanusiaan di Yaman mulai Selasa depan.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, selepas mesyuarat menteri negara Teluk di Paris memutuskan gencatan senjata itu akan berkuatkuasa mulai jam 11 malam Selasa ini selama lima hari dan mungkin dilanjutkan bergantung kepada keadaan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengingatkan tentera bersekutu bahawa sekatan laluan untuk penghantaran makanan dan bahan api menjejaskan usaha penyaluran bantuan, sekali gus mengancam nyawa ribuan kanak-kanak Yaman.

"Gencatan senjata ini akan ditamatkan jika Huthi dan sekutunya tidak berpegang kepada persetujuan yang dicapai...inilah masanya Huthi membuktikan mereka mengambil berat hal ehwal masyarakat dan warga Yaman keseluruhannya," kata Jubeir dalam sidang medianya sebelum ini. -AFP.

Berita Harian X