Ahad, 24 Mei 2015 | 8:57am

Serangan terbaharu di Yaman meliputi udara, darat

BANGUNAN yang musnah selepas dibedil pesawat pejuang tentera pakatan diketuai Arab Saudi di bandar Saada, Yaman. - Foto Reuters
BANGUNAN yang musnah selepas dibedil pesawat pejuang tentera pakatan diketuai Arab Saudi di bandar Saada, Yaman. - Foto Reuters

SANAA: Pesawat pejuang tentera pakatan diketuai Arab Saudi hari ini melancarkan serangan terbaharu di Yaman dengan mensasarkan kubu kumpulan pemberontak yang disokong Iran terutama di selatan negara itu.

Saksi berkata, serangan udara itu mengebom depoh senjata kumpulan pemberontak Huthi di Ghula, wilayah Omran di utara Sanaa.

Ia disusuli oleh serangan darat ke atas kemudahan penyimpanan senjata di Sanaa yang dipercayai menyebabkan kematian selain serangan ke atas pangkalan tentera di Dhabwa yang kini dikuasai puak pemberontak.

Di wilayah selatan Hodeida pula, sebuah lapangan terbang tentera dibom dua kali oleh pesawat penggempur tentera pakatan, demikian menurut penduduk tempatan.

Tentera pakatan Arab dilapor meningkatkan serangan udara ke atas posisi strategik dikuasai pemberontak Huthi sejak berakhirnya gencatan senjata kemanusiaan, Selasa lalu.

Di Hajja di utara Yaman, satu perjumpaan Huthi diserang menyebabkan sekurang-kurangnya 12 pejuangnya terbunuh.

Serangan darat juga mensasarkan beberapa markas pemberontak di Dhamar, manakala kereta kebal dan bunyi tembakan mortar kedengaran di wilayah tengah di mana pertempuran sedang meletus.

Di selatan Yaman, jet penggempur mensasarkan beberapa kawasan dikuasai pemberontak di Ataq, ibu negeri wilayah Shabwa.

Pertempuran di Ataq dilaporkan sudah mengorbankan 28 orang termasuk 17 pemberontak Huthi dan 11 orang tempatan, demikian menurut sumber. - AFP

Berita Harian X