X
Khamis, 25 Jun 2015 | 12:29pm

Israel batalkan 500 permit warga Gaza solat di Al-Aqsa

WARGA Palestin melalui pusat pemeriksaan ke Baitulmuqaddis dari Tebing Barat pada hari Jumaat untuk berdoa di Masjid Al Aqsa. - Foto REUTERS
WARGA Palestin melalui pusat pemeriksaan ke Baitulmuqaddis dari Tebing Barat pada hari Jumaat untuk berdoa di Masjid Al Aqsa. - Foto REUTERS

JERUSALEM: Israel hari ini membatalkan permit masuk 500 rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza untuk memasuki Jerusalem bagi menunaikan solat Tarawih di Masjid Al-Aqsa selepas pejuang Palestin dikatakan menembak roket ke selatan Israel, semalam.

Serangan itu adalah kejadian ketiga sejak beberapa hari lalu, sekali gus menjadi alasan untuk Israel membatalkan sebahagian daripada langkah mengurangkan sekatan ke atas pergerakan rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat sempena bulan Ramadan.

Gaza yang diperintah oleh Hamas dan dimusnahkan oleh tiga peperangan dalam tempoh enam tahun lalu, berada dalam kepungan, dengan Israel mengekalkan kawalan ketat di pintu masuk dan keluar terhadap semua barangan dan penduduk.

Namun, Israel melonggarkan sekatan ke atas rakyat Palestin yang ingin memasuki Jerusalem bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci umat Islam pada bulan mulia ini.

Sebahagian daripada langkah itu termasuk membenarkan hingga 800 penduduk Gaza melakukan perjalanan ke Al-Aqsa untuk solat Jumaat.

Israel berkata, ia membatalkan 500 permit masuk untuk permohonan pada minggu ini saja.

Jurucakap Unit Kementerian Pertahanan yang mengendalikan Gaza (COGAT, berkata langkah itu diambil berikutan serangan roket.

Beberapa penduduk Gaza hari ini berkata, langkah itu sebagai tindakan tidak adil dan menegaskan mereka tidak mempunyai kawalan ke atas kumpulan yang melepaskan tembakan roket.

"Ini bukan salah kami. Kami tidak mahu apa-apa roket dilancarkan ke atas Israel," kata Rabaea Abu Halima, seorang penduduk Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza. - AFP

Berita Harian X