Isnin, 6 Julai 2015 | 10:24pm

Geng curi lembu bunuh 37 penduduk di Nigeria

KANO, Nigeria: Geng bersenjata yang dipercayai pencuri lembu membunuh sekurang-kurangnya 37 orang di sebuah kampung dalam negeri Zamfara, di utara Nigeria.

"Kumpulan itu membunuh 37 orang di Kampung Cigama tidak lama selepas menyerang Kampung Kokeya di mana mereka bunuh dua orang," kata penghulu di daerah itu, Muhammad Bala Gusami mengenai kejadian itu pada Sabtu.

Gusami, berkata kira-kira 50 lelaki bersenjata terbabit dalam serangan itu dan mereka menembak sesuka hati.

Katanya, beberapa rumah penduduk turut dibakar dan sekawan lembu turut dicuri.

Negeri Zamfara sudah menyaksikan banyak kejadian serangan dan mencuri lembu, menyebabkan penduduk terpaksa menubuhkan pasukan pengawal kampung untuk mempertahankan diri daripada kumpulan perompak.

Bagaimanapun, pasukan pengawal kampung pula dikatakan membuat pembunuhan sembrono terhadap mereka yang dituduh perompak.

Sebagai tindak balas, geng bermotosikal akan menyerbu kampung-kampung bagi membalas dendam pembunuhan rakan mereka.

Pada Februari tahun lalu, 20 terbunuh dalam serangan sedemikian di beberapa kampung sekitar Cigama. - AFP

Berita Harian X