Jumaat, 17 Julai 2015 | 9:28pm

Thailand bebaskan pemimpin kanan PULO

YALA: Bekas pemimpin kanan kumpulan pemisah, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Ismail Ternang, dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan diraja sempena sambutan Aidilfitri, hari ini.

Ismail, yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Penjara Yala, dibebaskan oleh pihak berkuasa Thailand setelah mendapat pengampunan daripada Raja Bhumibol Adulyadej.

Sumber PULO berkata, langkah itu dilihat sebagai antara usaha mencari kedamaian di selatan Thailand yang masih bergolak dengan keganasan.

Ahli keluarga dan sahabat menyambut kepulangan Ismail di Kampong Thanam, Panaret, Pattani.

Sementara itu, walaupun keadaan di wilayah selatan Thailand masih bergolak, ketibaan 1 Syawal hari ini disambut dengan penuh kesyukuran.

Di Masjid Jamek wilayah Pattani, lebih 5,000 umat Islam dari sekitar bandar Pattani dan kawasan berhampiran membanjiri masjid itu untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Imam masjid, Abdul Razak Manso, berkata selain aktiviti solat sunat Aidilfitri, jamuan bagi anak yatim, fakir miskin dan jemaah turut diadakan oleh pihak jawatankuasa masjid.

Dalam pada itu, menurut laporan akhbar Bangkok Post pada 25 Jun lalu, rundingan sulit antara kerajaan Thailand dan enam kumpulan pemisah mencapai sedikit kemajuan untuk penyelesaian berkekalan di wilayah selatan negara itu.

Laporan itu memetik Setiausaha delegasi kerajaan, Mejar Jeneral Nakrob Boonbuathong sebagai berkat, enam kumpulan terbabit adalah Barisan Revolusi Nasional (BRN), tiga puak daripada PULO, Barisan Islam Pembebasan Patan (BIPP) dan Gerakan Mujahidin Patani (GMP). - BERNAMA

Berita Harian X