Rabu, 12 Ogos 2015 | 8:55am
RATUSAN mangsa sudah terkorban akibat serangan dipercayai ahli kumpulan Boko Haram sepanjang minggu lalu. - Foto aljazeera.com
RATUSAN mangsa sudah terkorban akibat serangan dipercayai ahli kumpulan Boko Haram sepanjang minggu lalu. - Foto aljazeera.com

47 maut serangan bom di pasar minggu Nigeria

KANO: Sekurang-kurangnya 47 maut manakala berpuluh lagi cedera dalam satu serangan bom di timur laut Nigeria semalam, dipercayai dilakukan kumpulan militan Boko Haram.

Letupan berlaku di sebuah pasar minggu di perkampungan Sabon Gari, kira-kira 135 kilometer di selatan Borno, ibu negeri Maiduguri.

Ketika kejadian, pasar berkenaan sedang sibuk dikunjungi orang ramai kira-kira 1.15 tengah hari waktu tempatan.

"Kami sudah menerima sekurang-kurangnya 47 mayat dan lebih 50 lagi mangsa yang cedera dari pasar minggu Sabon Gari," kata seorang jururawat di Hospital Umum Biu, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari tempat kejadian.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa yang cedera dibawa ke hospital itu mengalami kecederaan yang teruk dan ini bermakna angka kematian mungkin meningkat.

"Letupan berlaku di dalam pasar di bahagian kedai menjual telefon bimbit," kata Yuram Bura, seorang anggota kumpulan penduduk yang menentang Boko Haram.

Sejurus serangan berlaku, anggota tentera dikerah ke tempat kejadian dan pasar berkenaan diarah tutup. - AFP

Berita Harian X