Khamis, 8 Oktober 2015 | 10:16am

Pemberontak Yaman setuju henti pertempuran - PBB

JURUCAKAP PBB, Stephane Dujarric.
JURUCAKAP PBB, Stephane Dujarric.

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Pemberontak Syiah di Yaman bersetuju untuk menghentikan pertempuran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika badan dunia itu kini menunggu reaksi kerajaan Yaman.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata pemberontak yang dikenali sebagai Houthi, menerima resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa penamatan keganasan, penarikan keluar pasukan tentera dari kawasan yang ditawan dan penamatan tekanan terhadap peralihan kuasa di Yaman.

Resolusi yang diluluskan pada 14 April lalu itu juga mengenakan sekatan senjata terhadap pemimpin Houthi dan penyokong mereka iaitu bekas Presiden Ali Abdullah Saleh dan anak lelaki beliau.

Dujarric berkata, Duta Khas PBB ke Yaman, Ismail Ould Cheikh Ahmed yang berusaha menamatkan konflik itu, mengalu-alukan kenyataan terbaru Houthi itu yang menerima resolusi berkenaan.

Pertempuran sudah membunuh lebih 4,000 orang serta menyebabkan negara Arab paling miskin di dunia itu dibelenggu krisis kemanusiaan dan hampir berhadapan dengan kebuluran.

Konflik di Yaman itu membabitkan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang juga sekutu AS dan puak Houthi yang disokong Iran dan yang menawan ibu negara Sanaa tahun lalu serta unit tentera yang setia dengan bekas presiden berkenaan.

Pakatan yang diketuai Arab Saudi mulai melancarkan serangan udara ke atas puak Houthi dan sekutu mereka pada 26 Mac lalu, tidak lama selepas Hadi melarikan diri ke Arab Saudi ketika puak pemberontak mara ke Sanaa. - AP

Berita Harian X