Khamis, 22 Oktober 2015 | 10:03am

20 mati ditembak Boko Haram di Nigeria

ANGGOTA Palang Merah mengangkat mayat mangsa serangan bom militan Boko Haram di Miduguri, Nigeria, Jumaat lalu. - Foto AFP
ANGGOTA Palang Merah mengangkat mayat mangsa serangan bom militan Boko Haram di Miduguri, Nigeria, Jumaat lalu. - Foto AFP

KANO, Nigeria: Dua puluh orang ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai anggota Boko Haram di luar sebuah perkampungan di Borno, di timur laut Nigeria.

Menurut pegawai keselamatan tempatan, sekumpulan anggota Boko Haram yang melarikan diri daripada serangan pihak tentera ke atas kem mereka di daerah Nganzai melepaskan tembakan terhadap empat kereta di luar perkampungan Jingalta, 70 kilometer di utara Maiduguri, menyebabkan semua 20 penumpang dan pemandu terbunuh.

"Kami menerima maklumat berhubung serangan oleh kumpulan bersenjata Boko Haram terhadap empat kereta berhampiran perkampungan Jingalta di mana mereka menembak mati semua 20 orang di dalam kenderaan berkenaan sebelum membakarnya," kata Babakura Kolo, seorang anggota keselamatan tempatan yang membantu pihak tentera menentang militan Boko Haram.

Isnin lalu, kumpulan Boko Haram membunuh lima orang pengembara dan mencederakan seorang lagi di sebuah kampung berhampiran. - AFP

Berita Harian X