Selasa, 3 November 2015 | 10:55pm

UK berdepan pembatalan penerbangan akibat kabus

PESAWAT British Airways membatalkan penerbangan berikutan kabus di Lapangan Terbang Heathrow.
PESAWAT British Airways membatalkan penerbangan berikutan kabus di Lapangan Terbang Heathrow.

DUBLIN: Tiga penerbangan dari Dublin ke London dibatalkan pagi Selasa akibat kabus aneh di United Kingdom yang menyaksikan jadual penerbangan terus terganggu, selepas kira-kira 129 penerbangan atau 10 peratus dibatalkan di Lapangan Terbang Heathrow sejak Isnin berikutan jarak penglihatan terhad.

Syarikat penerbangan Cityjet dan British Airways masing-masing membatalkan penerbangan ke Gatwick, London, manakala penerbangan Aer Lingus ke Heathrow.

Seorang jurucakap Lapangan Terbang Dublin berkata, keadaan tidak seburuk seperti kelmarin namun memberi amaran, penumpang mungkin berdepan penangguhan dan menasihatkan mereka menghubungi syarikat penerbangan terlebih dulu sebelum pergi ke lapangan terbang.

Penerbangan beroperasi seperti biasa di lapangan terbang Cork, kecuali perkhidmatan jam 6.50 petang waktu tempatan Cityjet ke lapangan terbang Gatwick, London masih menunggu kelulusan berlepas.

Seorang jurucakap Lapangan Terbang Shannon berkata, ada sedikit penangguhan namun tiada pembatalan.

Lapangan terbang Heathrow dan Gatwick memberi amaran penerbangan mungkin akan terjejas akibat penangguhan pelepasan dan pembatalan Selasa berikutan sekatan trafik udara.

Peramal cuaca British menjangka cuaca berkabus itu kekal di bahagian utara dan timur England serta Wales sehingga pagi Selasa namun Pejabat Meteorologi British sudah menarik balik amaran cuaca tahap kuning.

Lapangan Heathrow ditutup kelmarin untuk penerbangan sehingga jam 11.00 pagi waktu tempatan, sementara lapangan terbang Gatwick, Manchester, John Lennon Liverpool, Glasgow dan Southamptom turut terjejas. - AGENSI

Berita Harian X