Rabu, 16 Disember 2015 | 9:54am

Serangan kejam Boko Haram, 30 terbunuh

KAWASAN serangan Boko Haram yang sedang dalam proses pembaikpulih. - Foto Reuters
KAWASAN serangan Boko Haram yang sedang dalam proses pembaikpulih. - Foto Reuters

KANO: Serangan kejam terhadap tiga perkampungan oleh kumpulan militan Boko Haram di timur laut Nigeria mengorbankan 30 penduduk manakala 20 lagi cedera.

"Kebanyakan mangsa disembelih dan mereka yang cedera pula akibat dikelar," kata Mustapha Karimbe, orang awam yang membantu tentera Nigeria memerangi Boko Haram.

Serangan pada Sabtu lalu membabitkan perkampungan di Warwara, Mangari dan Bura-Shika dalam Negeri Borno.

Berita serangan itu lewat diperoleh berikutan kebanyakan jaringan komunikasi yang terjejas akibat perbuatan anggota Boko Haram.

Kumpulan militan berkenaan mengepung kampung, menyembelih dan mencederakan mangsa sebelum membakar kawasan berkenaan.

Warwara terletak berdekatan Buratai, iaitu kampung kelahiran ketua tentera Nigeria, Tukur Yusuf Buratai.

Warwara adalah paling teruk terjejas dengan jumlah kematian paling ramai iaitu 20 orang, kata penduduk kampung Musa Suleiman.

Penyerang membunuh enam penduduk di Bura-Shika dan empat lagi di Mangari. - AFP

Berita Harian X