Isnin, 21 Disember 2015 | 10:08am

PM Sepanyol cuba bentuk kerajaan baharu

PERDANA Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy. - Foto EPA
PERDANA Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy. - Foto EPA

MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy akan cuba membentuk kerajaan baharu selepas Parti Popular pimpinannya menang kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum pada Ahad tetapi gagal memperoleh majoriti.

"Saya akan cuba membentuk kerajaan, kerajaan yang stabil. Kita perlu berbincang, berunding dan mencapai persetujuan," katanya kepada ratusan penyokong yang berkumpul di luar ibu pejabat parti di Madrid sambil melaungkan: "Sepanyol! Sepanyol!"

Parti Popular menang 28.72 peratus undi, memberikannya 123 daripada 350 kerusi Parlimen, kurang 176 yang diperlukan untuk membentuk majoriti dan kurang daripada 186 kerusi yang diperoleh terdahulu.

Parti Sosialis memperoleh 90 kerusi untuk berada di belakang Parti Popular manakala dua parti baharu, Podemos dan Ciudadanos, masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

Podemos memperoleh 69 kerusi manakala Ciudadanos, 40 kerusi, sekali gus menamatkan penguasaan Popular dan Sosialis selama lebih 30 tahun.

Keputusan itu bermakna parti yang boleh membentuk majoriti dengan Rajoy ialah Sosialis atau Podemos, yang berkemungkinan tidak akan berlaku. - AFP

Berita Harian X