X
Sabtu, 30 Januari 2016 | 9:32am

10 maut serangan pengebom kanak-kanak di Nigeria

ANGGOTA polis Nigeria membuat siasatan kawasan kejadian letupan bunuh diri, di utara bandar Kano, tahun lalu. - Foto fail AFP
ANGGOTA polis Nigeria membuat siasatan kawasan kejadian letupan bunuh diri, di utara bandar Kano, tahun lalu. - Foto fail AFP

KANO: Sekurang-kurangnya 10 terbunuh apabila seorang pengebom kanak-kanak meletupkan dirinya di pasar di utara Nigeria semalam, pertumpahan darah terbaharu melanda wilayah itu yang dibayangi masalah pengganas, kata saksi.

Letupan besar itu dilaporkan kira-kira jam 11.00 tengah hari waktu tempatan di kawasan pasar sesak di Gombi, negeri Adamawa.

Ia adalah serangan paling teruk dalam tempuh tujuh tahun pemberontakan Boko Haram.

Seorang peniaga, Mustapha Jalo, berkata beliau mendengar letupan kuat datang dari arah bahagian menjual bijirin yang terletak di pinggir pasar.

"Kami bergegas ke tempat kejadian dan mendapati ia adalah pembunuhan beramai-ramai. Kelihatan mayat bergelimpangan.

"Saya boleh katakan lebih 10 orang mati dalam letupan itu tetapi saya tidak boleh memberikan jumlah yang tepat kerana yang cedera juga terlalu ramai," katanya.

Letupan itu berlaku selepas serangan tiga pengebom nekad yang membunuh sekurang-kurangnya 14 orang di bandar Chibok, Rabu lalu.

Dalam serangan itu penyerang turut menculik lebih daripada 200 orang gadis pada April 2014.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari bulan lalu mengisytiharkan rangkaian kumpulan militan IS itu secara 'teknikal' berjaya ditewaskan tetapi masih belum mampu menghentikan serangan bom bunuh diri. - AFP

Berita Harian X