Khamis, 4 Februari 2016 | 10:48pm

Zika bukan ancaman besar di Thailand - Pakar

BANGKOK: Seorang pakar entomologi (serangga) di Thailand berkata hanya ada sejumlah kecil nyamuk di negara itu yang mampu membawa virus Zika kerana setakat ini hanya sebilangan kecil penduduk dijangkiti.

Pakar Jabatan Perubatan Entomologi, Universiti Mahidol, Profesor Madya Supatra Thongrungkiat, berkata di Thailand hanya sebilangan kecil nyamuk biasa mampu membawa virus Zika.

"Nyamuk biasa adalah pembawa denggi, chikungunya dan Zika. Berdasarkan teori, seekor nyamuk hanya mampu membawa sejenis virus dan berdasarkan kajian kami mendapati denggi adalah virus paling banyak disebarkan nyamuk di Thailand, kerana ramai yang menjadi mangsa," katanya.

Supatra berkata, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan teori terbabit.

Akhir Januari lalu, kes pertama jangkitan virus Zika dikesan di Hospital Bhumibol Adulyadej di ibu kota ini.

Ketua Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal Universiti Chulalongkorn, Dr Yong Puworawan, mendedahkan Zika bukan saja boleh disebarkan menerusi gigitan nyamuk, malah menerusi hubungan seks dan penyusuan ibu kepada bayi.

"Virus Zika tidak begitu teruk seperti denggi, kerana gejalanya lebih ringan, namun ia boleh menyebabkan bayi yang dilahirkan ibu dijangkiti mempunyai kepala lebih kecil daripada normal.

"Ia mempunyai persamaan seperti rubela kerana tidak menunjukkan gejala yang teruk namun sebaliknya menyebabkan kecacatan bayi," kata Yong. - Agensi

Berita Harian X