Ahad, 7 Februari 2016 | 7:46am

Wanita Australia diculik di Burkina Faso dibebas

DR Ken dan isterinya, Jocelyn. - Foto Facebook
DR Ken dan isterinya, Jocelyn. - Foto Facebook

NIAMEY: Seorang wanita Australia yang diculik bersama suaminya di Burkina Faso oleh satu kumpulan pemberontak al-Qaeda sudah dibebaskan, demikian menurut Presiden Niger, Mahamadou Issoufou hari ini.

Issoufou sendiri mengiringi bersama wanita berkenaan, Jocelyn Elliott, dalam satu sidang media di Dosso, barat daya Niger.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang meningkatkan usaha bagi membebaskan suami wanita berkenaan.

Pasangan suami isteri berkenaan diculik pada 15 Januari lalu.

Kumpulan Islam Maghreb, iaitu rangkaian al-Qaeda semalam berkata kumpulan itu menculik pasangan berkenaan dan akan membebaskan wanita tanpa sebarang syarat.

Bagaimana wanita berkenaan dibebaskan dan sampai ke Niger iaitu negara berjiran dengan Burkina Faso adalah masih tidak jelas.

Sejak lebih 40 tahun, Dr Ken Elliott dan isterinya mengendalikan sebuah klinik yang mempunyai 120 katil di pekan Djibo berdekatan sempadan Burkina Faso dengan Mali.

Mereka diculik dari pekan berkenaan pada hari yang sama dengan kumpulan al-Qaeda menyerang sebuah restoran dan hotel di ibu negara Burkina Faso, Ouagadougou yang mengorbankan 30 orang yang kebanyakannya rakyat asing.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull mengesahkan pembebasan wanita warga Australia berkenaan iaitu.

Beliau berkata, Dr Ken Elliott dan isterinya, Jocelyn, yang berasal dari Perth di Australia Barat yang berusia 82 dan 84 tahun, diculik pada malam antara 15 dan 16 Januari lalu. - AFP

Berita Harian X