Jumaat, 12 Februari 2016 | 12:39am

Produksi UK dipertanggungjawabkan Harrison Ford patah kaki

HARRISON Ford
HARRISON Ford

LONDON: Sebuah syarikat produksi yang terbabit dalam pembikinan filem "Star Wars: The Force Awakens" akan berdepan tuduhan jenayah membabitkan satu insiden ketika penggambaran yang menyebabkan aktor Harrison Ford patah kaki, menurut Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan Britain semalam.

Pelakon veteran itu cedera selepas ditimpa sebuah pintu hidraulik berat dalam set Millenium Falcon, kapal angkasa lepas terkenal untuk watak dipegangnya, Han Solo, pada 12 Jun 2014 di Pinewood Studios, di barat laut ibu kota ini.

"Mengikut undang-undang, majikan perlu mengambil langkah wajar untuk melindungi pekerja. Ia berikutan set penggambaran filem dianggap sebagai lantai kilang.

"Kami sudah menyiasat secara terperinci dan percaya terdapat bukti cukup untuk membawa kes ini ke mahkamah," kata agensi kerajaan itu yang menguatkuasakan peraturan kesihatan dan keselamatan dalam satu kenyataan."

Firma itu, Foodles Productions (UK) Ltd gagal dihubungi untuk mengulas. Agensi itu berkata, mengikut undang-undang Britain, syarikat terbabit bertanggungjawab mengurus risiko ketika penggambaran filem.

Ford, yang berusia 71 tahun ketika itu, diterbangkan ke sebuah hospital di Oxford selepas kemalangan dan kemudian menjalani pembedahan di kaki kiri. - Reuters

Berita Harian X