Selasa, 8 March 2016 | 4:15pm

Riau isytihar darurat berikutan kebakaran hutan

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran di ladang Tanjung Palas, Dumai, Riau, Sumatera, hari ini. - Foto Reuters
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran di ladang Tanjung Palas, Dumai, Riau, Sumatera, hari ini. - Foto Reuters

JAKARTA: Perintah darurat diisytiharkan di Riau berikutan kebakaran hutan dan ladang di Sumatera, kata pegawai kerajaan.

Kebakaran yang menyebabkan jerebu di Asia Tenggara setiap tahun itu, merebak tanpa dapat dikawal, menyebabkan anggaran kerugian mencecah AS$16 bilion (RM65 bilion), dan mendorong purata pelepasan gas rumah hijau mengatasi Amerika Syarikat.

"Gabenor mengisytiharkan darurat, untuk menghalang kebakaran pada 2015 berulang," kata jurucakap kerajaan tempatan, Darusman.

Kira-kira 500 anggota tentera dan polis serta helikopter pengebom air dikerah membantu memadamkan kebakaran tetapi ia masih belum sampai di kawasan bandar.

Kebakaran selalu dimulakan syarikat perladangan dan pemegang saham kecil untuk membersihkan ladang, dan menjadi buruk pada 2015 disebabkan musim kemarau berpanjangan berikutan fenomena El Nino.

Presiden Joko Widodo menggesa pihak berkuasa untuk mengawal kawasan panas, lokasi kebakaran bermula dan merebak ke kawasan sekitar.

Tahun ini, Widodo menubuhkan agensi untuk memulihkan dua juta hektar tanah gambut yang kaya karbon yang selalunya menghasilkan lebih banyak jerebu berbanding kebakaran hutan.

Namun usaha Indonesia dan negara jiran untuk menghalang kebakaran, atau memadamkan ia sebaik bermula, tidak begitu berjaya.

Tahun lalu, kebakaran berakhir cuma apabila musim hujan tiba untuk memadamkan ia. - Reuters

Berita Harian X